Perak Hari Ini

PRK Slim: Menteri Didakwa Beri Sogokan Pilihanraya

SLIM RIVER: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang menawarkan peluang pekerjaan menerusi sebuah program kerjaya semalam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim didakwa sebagai memberi ‘sogokan’ sempena Pilihanraya Kecil (PRK).

Pengurus kempen kepada calon Bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, Amirul Fairuzzen Jamaluddin mempersoalkan tindakan tersebut dengan mendakwa ia hanya diadakan semasa tempoh berkempen PRK Slim.

Katanya, dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook Kementerian Sumber Manusia memaklumkan, menerusi program tersebut seramai lapan orang yang merupakan penduduk tempatan telah diterima bekerja manakala empat orang kurang upaya (OKU) menerima skim bantuan perniagaan.

Ujar beliau, program yang turut dihadiri M Saravanan itu menghebahkan bahwa pihak kementerian telah menawarkan 9,000 kekosongan jawatan kepada pencari kerja dalam pelbagai jawatan dan kelulusan akademik.

“Secara kebetulan program-program ini dilaksanakan dalam tempoh berkempen pilihanraya yang mana ia menyalahi Akta Pilihanraya di bawah Seksyen 10 (B).

“Kami kesan dengan tindakan ini yang mana ketika semua orang sedang meraikan pesta demokrasi , rupa-rupanya ada ‘kluster kayangan’ bagi demokrasi ini.

“Yang mana kami dihidangkan dengan perlawanan yang tidak rata. Justeru kami menuntut Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mengambil tindakan berhubung perkara ini,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang juga seorang peguam berkata satu laporan polis akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mualim bagi memberi ruang kerja-kerja siasatan dilakukan.

Dalam pada itu, Amirul Fairuzzen menjelaskan bahawa beliau tidak menidakkan inisiatif peluang pekerjaan tersebut.

Sebaliknya beliau mempersoalkan usaha tersebut yang didakwa sengaja diadakan dalam tempoh berkempen ini.

Katanya ia menjadi suatu ketidakadilan kepada calon Bebas apabila terdapat calon lain yang didakwa menggunakan jentera kerajaan bagi meraih undi.

“Saya menganggap ia sebagai satu sogokan kepada pengundi. Takkan tiba-tiba sahaja perkara ini diadakan semasa berkempen.

“Mengapa ia tidak diadakan sebelum atau selepas tempoh berkempen. Kami bukan pertikai hak rakyat Slim untuk menerima keprihatinan kerajaan.

“Namun, persoalannya mengapa keprihatinan ini ditunjukkan dalam tempoh berkempen,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");