Panasnya Hari Ini

PRK Slim: Perang Poster, Bendera Kurang Menyengat

TANJUNG MALIM – Bila sebut kempen pilihan raya, ramai pasti membayangkan perang poster dan bendera yang cukup meriah menghiasi kawasan sekeliling.

Namun, suasana pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim kelihatan agak ‘suam-suam kuku’ walaupun kempen sudah masuk hari kelapan hari ini.

Pesta poster dan bendera dilihat kurang menyengat sama ada di pihak Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon Mohd Zaidi Aziz mahupun dua lagi calon bebas iaitu peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan bekas guru S.Santharasekaran.

Ketiga-tiga calon dilihat lebih cenderung mengadakan ceramah dalam skala kecil, tinjuan mesra dan ziarah kasih dari satu kawasan ke kawasan lain di samping memanfaatkan teknologi menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram serta aplikasi WhatsApp.

Pendekatan itu juga sebagai menyahut saranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya semua pihak bertanding dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib, menyifatkan perang poster dan bendera sebagai sesuatu yang agak ketinggalan zaman kerana kedua-dua material itu kini boleh ditonjolkan secara digital dengan lebih hebat.

“Tanpa perang poster, kesedaran tetap ada bahawa kempen sedang berjalan, pengundian akan berlaku, gambaran mungkin kurang meriah tapi meriah dalam bentuk digital dan ini kita kena terima selari dengan kebiasaan baharu,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan pemerhatian, pemasangan bendera serta poster kebanyakannya tertumpu di kawasan pekan Slim River, Felda Besout dan Trolak dengan didominasi BN.

Manakala bahan kempen Amir Khusyairi yang menggunakan simbol pokok agak kurang, sementara tiada poster dan bendera di pihak Santharasekaran yang menggunakan simbol buku.

Santharasekaran ketika ditemui media mengakui tidak menaikkan bendera atau poster kerana menumpukan terhadap kempen digital selain mahu mengelak pembaziran.

Dari segi gerak kerja kempen, Mohd Zaidi lebih rancak dengan dibantu kepimpinan tertinggi BN dan UMNO yang turun padang antaranya Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad selain Timbalan Presiden UMNO Datuk Mohamad Hasan.

Kempen Amir Khusyairi pula dibantu beberapa penyokong bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad misalnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selain pemimpin PH termasuk Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof.

Santharasekaran pula hanya bergerak dalam skala kecil melibatkan bantuan daripada rakan-rakannya.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandang selama empat penggal daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai.

SPR menetapkan Selasa depan sebagai hari pengundian awal membabitkan 277 pengundi terdiri daripada polis dan pasangan, manakala 22,815 lagi pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab pada 29 Ogos.

Kawasan DUN Slim yang berkeluasan 510 kilometer persegi mempunyai 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM). -Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");