Perak Hari Ini

PRK Slim: Pusat Pengundian Awal Ditutup, 96.25 Peratus Keluar Mengundi

TANJUNG MALIM – Pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Sri Tanjong, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Mualim, dekat sini ditutup tepat pada pukul 5.30 petang hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan 96.25 peratus atau 257 daripada 267 pengundi yang layak mengundi awal pada hari ini telah selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Sepanjang proses pengundian awal tersebut, para pengundi telah diminta mematuhi panduan pencegahan COVID-19 seperti memastikan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjalani pemeriksaan suhu badan.

Proses pengundian awal yang berlangsung bermula jam 8.00 pagi tadi turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan, selain kalangan pemerhati yang dilantik oleh SPR.

Kesemua peti undi bagi pengundian awal itu akan disimpan di lokap IPD Mualim dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian 29 Ogos ini di pusat penjumlahan undi di bangunan Majlis Daerah Tanjong Malim.

Pada pagi tadi, turut meninjau perjalanan proses pengundian awal ialah Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain serta dua calon bertanding – calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz, 43, dan calon Bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38.

Seorang lagi calon Bebas Santhara Sekaran Subramaniam, 42 walau bagaimanapun tidak hadir.

Siang tadi Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman dalam satu sidang media berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal.

Katanya beliau turut telah menasihatkan anggota yang terlibat dengan pengundian awal itu agar tidak datang secara serentak bagi mengelakkan kesesakkan.

Untuk rekod, selepas PRK DUN Chini di Pahang pada Julai lalu, PRK DUN Slim menjadi PRK kedua di negara ini yang berlangsung dalam normal baharu itu.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong, Pahang selepas mengadu kesukaran bernafas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");