Perak Hari Ini

PRK Slim: Tidak Salah Tunjuk Kertas Undi Yang Belum Pangkah – Ketua Polis Perak

IPOH: Tidak menjadi kesalahan sekiranya pengundi awal di Pilihan Raya Kecil (PRK) merakam gambar atau menunjukkan kepada umum kertas undi pos yang masih tidak bertanda pangkah.

Sebaliknya, menurut Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, mereka dilarang untuk berbuat demikian termasuk menularkan kertas undi tersebut yang telah dipangkah.

“Sekiranya kertas undi itu belum bertanda pangkah, ia tidak menjadi kesalahan untuk ditunjukkan pada orang lain. Prosedur sama seperti proses pengundian biasa.

“Namun, apabila dipangkah, dan menularkan kepada orang ramai ia melanggar Peraturan Perjalanan Pilihanraya di bawah Seksyen 19 (8).

“Hal ini kerana undi adalah rahsia dan mana-mana pengundi tidak sepatutnya berbuat begitu,” katanya.

Pada Isnin, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak dilaporkan memberi amaran agar pengundi awal di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim tidak merakam dan menularkan kertas undi pos di media sosial.

Katanya individu yang didapati berbuat demikian boleh berdepan tindakan undang-udang.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata pihaknya akan memastikan anggota dan pegawai Polis yang terlibat dengan pengundian pos untuk tidak melanggar peraturan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada sebarang kesalahan jenayah atau pelanggaran peraturan Perjalanan Pilihanraya yang dilaporkan pada sepanjang tempoh berkempen PRK Slim yang bermula Sabtu lalu.

“Kita mengingatkan agar semua calon supaya dapat mengingatkan penyokong mereka supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi sepanjang tempoh PRK Slim berlangsung,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan dan Pelepasan 44 Kereta Peronda Polis (MPV) Polis baharu jenis Honda Civic 1.8 di Pekarangan Padang Kawat PSP Unit 5 Sungai Senam, di sini, hari ini.

Ujar Razarudin, dengan pertambahan kenderaan tersebut, ia menjadikan jumlah MPV yang dimiliki Polis Kontinjen Perak sebanyak 288.

“Agihan fasa kedua selepas ini akan dibuat melibatkan penggantian MPV jenis Proton Inspira kepada MPV jenis Proton X70 dalam masa terdekat yang melibatkan tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

“IPD terlibat ialah Gerik, Pengkalan Hulu dan Selama yang mana masing-masing akan menerima sebuah Proton X70 setiap satu.

“Pemilihan Proton X70 di daerah tersebut adalah disebabkan faktor muka bumi di kawasan-kawasan terbabit yang berbukit-bukau dan keadaan jalan yang tidak rata,” katanya.

Tambah beliau sehingga hari ini, pasukan MPV Polis Perak telah melakukan 105 tangkapan membabitkan kesalahan dadah dan jenayah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");