Panasnya Hari Ini

Prosiding Kes Rasuah Azeez Rahim Ditangguh

KUALA LUMPUR – Prosiding rasuah membabitkan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya di Mahkamah Sesyen di sini, ditangguh hari ini, memandangkan Ahli Parlimen Baling itu perlu hadir di Parlimen jam 11.30 pagi ini.

Semasa prosiding, peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abdul Azeez memaklumkan kepada Hakim Azura Alwi, semua Ahli Parlimen diwajibkan hadir untuk bacaan kali ke dua Rang Undang-undang (RUU) Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan berhubung penyakit Covid-19.

Menurutnya, bacaan itu akan disampaikan oleh Menteri Kewangan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ia berikutan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming pada Jumaat lalu, mengkritik kelewatan pembentangan RUU Covid-19, dengan mengatakan ia akan menjejaskan rakyat yang terkesan ekoran penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Langkah-langkah Sementara untuk Mengurangkan Kesan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) Rang Undang-Undang 2020 mesti disahkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, yang bermaksud yang paling awal dapat diwartakan adalah pada akhir September.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Abdul Azeez iaitu M Athimulan berkata, beliau perlu membuat pindaan kepada dokumen berkaitan kes.

Azura kemudiannya menanguhkan prosiding esok dan mengarahkan pendakwaan bersedia dengan saksi mereka.

Mahkamah akan bersidang esok dengan sembilan saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan memetik Sinar Harian.

Abdul Azeez, 53, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta, manakala abangnya, Datuk Abdul Latif menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez.

Bagi pertuduhan rasuah, Abdul Azeez dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi kes pengubahan wang haram, dia dituduh melakukan kesalahan itu di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, manakala sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Abdul Latif, 62, pula menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez yang telah secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, yang juga Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek pembinaan jalan secara tender terhad, daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Projek melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-Kerja Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak Darul Ridzuan) yang bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad dan Nik Haslinie Hashim manakala Abdul Azeez serta abangnya, diwakili peguam, Hisyam Teh Poh Teik, M Athimulan dan Fudhail Zulaini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");