Perak Hari Ini

Provokasi Terhadap Ketua ARMADA Perak Tidak Wajar – Ketua ARMADA Tanjung Malim

TANJUNG MALIM: Tindakan provokasi ke atas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh adalah sesuatu yang tidak wajar.

Menurut Ketua ARMADA BERSATU bahagian Tanjung Malim, Azirul Shafiq Sazali, setiap parti dalam gabungan antara UMNO, PAS dan BERSATU ketika ini harus memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap Pilihanraya Kecil (PRK) Slim yang sedang berlangsung.

“Muafakat Nasional perlu mengutamakan konsep penyatuan dan memahami kemuafakatan yang dijalinkan antara gabungan parti-parti komponen.

“Saya menyeru agar ukhuwah dan kerjasama wajib diamalkan untuk membentuk kekuatan bagi menghadapi PRK pada kali ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Walaupun tidak dinyatakan secara jelas namun difahamkan kenyataan itu merujuk kepada kejadian Ketua ARMADA BERSATU Perak yang di ‘boo’ dalam Majlis Perasmian dan Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) di Felda Residence Trolak, di sini pada Sabtu lalu.

Dilaporkan setiap kali nama ARMADA BERSATU disebutkan pemimpin BN ketika berucap, mereka di ‘boo’ yang menunjukkan seolah-olah tidak disenangi segelintir Pemuda BN yang hadir.

Walau bagaimanapun, Mohd Hafez berkata beliau tidak mengambil hati terhadap tindakan tersebut.

Mengulas lanjut, Azirul Shafiq berkata provokasi tersebut berkemungkinan berlaku atas faktor individu atau pihak lain dan ia bukan secara khusus merujuk kepada ARMADA dan BERSATU.

“Saya dimaklumkan bahawa provokasi tersebut bukan dari kalangan Pemuda UMNO Tanjung Malim sebaliknya dari bahagian lain atas ketidaksefahaman dalam beberapa perkara.

“ARMADA dan Pemuda UMNO Tanjung Malim mempunyai hubungan ukhuwah yang sangat erat.

“Kami juga telah terlibat dalam Program Korban Perdana dan akan melangsungkan pertandingan futsal antara komponen Muafakat Nasional dalam masa terdekat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");