Berita Hari Ini

Pulau Pinang larang kemasukan pelancong kesihatan

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menzahirkan rasa kesal kerana pihaknya langsung tidak dimaklumkan berhubung ketibaan pesakit dari Indonesia “secara tiba-tiba” ke negeri ini, Jumaat lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan berkata, beliau mempengerusikan satu mesyuarat tergempar hari ini berhubung isu kemasukan 3 pesakit warganegara Indonesia berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut di hospital swasta di Pulau Pinang.

Beliau berkata, perbincangan utama dalam mesyuarat itu adalah bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan perkara berkenaan, di samping turut menyentuh isu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di peringkat pusat sebelum ini berhubung kemasukan pesakit di bawah kategori pelancongan kesihatan ke negara ini, khususnya ke Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri telah diberi penjelasan lanjut berhubung ketibaan 2 pesakit kanser dan seorang pesakit yang memerlukan rawatan pada kadar segera dari Indonesia ke Pulau Pinang pada 14 Ogos 2020 menerusi pesawat khas sebagaimana ditetapkan dalam SOP agensi pusat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu Chow berkata, kerajaan negeri terus kekal dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan atau menerima pesakit di bawah sektor pelancongan kesihatan yang mahu mendapatkan rawatan di Pulau Pinang pada waktu ini.

Chow berkata, kerajaan negeri juga menzahirkan rasa sangat kesal kerana pihaknya langsung tidak dimaklumkan berhubung ketibaan pesakit berkenaan “secara tiba-tiba” ke negeri ini.

Menurutnya kerajaan negeri mengambil maklum bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan merumuskan SOP sektor pelancongan kesihatan nanti.

Beliau berkata kerajaan negeri kini tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan kemasukan pesakit di bawah kategori berkenaan setakat ini sehingga KKM memuktamadkan SOP baru, terutamanya pada tempoh masa ini, semasa Pulau Pinang masih melaporkan kemunculan kes aktif Covid-19.

“Setiausaha kerajaan negeri diarahkan untuk mengadakan mesyuarat teknikal membabitkan pelbagai agensi pada petang ini untuk menguruskan isu terbabit dengan lebih lanjut bagi menjamin keselamatan rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh.

“Kerajaan negeri turut menegaskan bahawa semua agensi berkaitan dengan sektor pelancongan kesihatan adalah diwajibkan untuk memberi segala maklumat kepada kerajaan negeri supaya kita dapat bersama-sama menguruskan isu ini dengan lebih berkesan,” katanya.-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");