Berita Hari Ini

Semua projek lapangan terbang beku akibat Covid-19, bukan ‘dendam politik’, kata menteri pengangkutan

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menafikan dakwaan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng “dendam politik” menjadi punca kerajaan persekutuan membatalkan cadangan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Dalam catatan di Facebooknya hari ini, Wee turut mempersoalkan dakwaan Lim yang beliau meluluskan RM800 juta dalam Belanjawan 2020 untuk projek itu.

“Sila tunjuk muka surat atau perenggan berapa dalam teks ucapan Belanjawan 2020,” katanya sambil menambahkan tiada 1 butiran yang menyatakan perkara itu.

Wee berkata, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) mengesahkan tiada sebarang peruntukan kerajaan diberikan kepada MAHB untuk menaik taraf PIA ketika Lim menjadi Menteri Kewangan, sebaliknya MAHB sudah lama merancang untuk menggunakan rizabnya bagi menampung kos projek berkenaan.

Lidah DAP Roketkini melaporkan Lim berkata projek lapangan terbang itu dan kereta kabel Bukit Bendera dibatalkan kerana dendam politik.

Wee berkata, sebelum ini beliau sudah menjelaskan di Parlimen semua cadangan baru pembinaan lapangan terbang dan menaiktaraf lapangan terbang perlu ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 terhadap sektor penerbangan yang dianggarkan hanya akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 2 tahun.

“Sementara itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menjalankan 1 Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang (NASP) ke atas 42 lapangan terbang sedia ada. Takkan MOT atau kerajaan PN simpan dendam politik dengan semua negeri yang mempunyai lapangan terbang,” katanya.

Beliau berkata, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu MAHB mengalami kerugian dan membelanjakan lebih RM1 bilion bagi menampung pengoperasian lapangan terbang.

“Takkan MAHB tidak berhak membuat penjajaran belanjawan syarikatnya dan meletakkan keutamaan yang betul dalam menghadapi cabaran pasca Covid-19?” katanya.

Perbalahan antara mereka tercetus selepas bekas perdana menteri Najib Razak mendesak siasatan dilakukan mengenai kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan sebelumnya berhubung peletakan jawatan secara tiba-tiba seorang pegawai atasan MAHB.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");