Berita Hari Ini
Like

Sukarelawan NGO Didakwa Bunuh Isteri Tepi Tasik Di Cyberjaya

August 11, 2020
284 Views
0 Comments
1 minute read
Sukarelawan NGO Didakwa Bunuh Isteri Tepi Tasik Di Cyberjaya

PUTRAJAYA: Seorang sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didakwa membunuh isterinya yang juga pensyarah universiti awam berdekatan tasik di Cyberjaya, kira-kira dua minggu lalu.

BH Online melaporkan tertuduh, Mohd Hairil Izzuan A Samad, 41, didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Dia didakwa membunuh isterinya yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Madya Dr Maizatulnisa Othman, 40, berdekatan tasik di Jalan Persiaran Sepang Cyber di Cyberjaya di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di antara jam 11 pagi 29 Julai hingga jam 1 pagi pada 30 Julai lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, sejurus pertuduhan terhadapnya dikemukakan di hadapan Majistret, Ayuni Izzaty Sulaiman.

Lelaki itu yang dibawa dengan berpakaian serba hitam itu, dilihat menangis ketika memasuki mahkamah.

Dia kemudian meminta mahkamah memberikan masa untuknya mendapatkan khidmat guaman dengan alasan tidak dimaklumkan perlu melantik peguam bela.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya, memaklumkan kepada mahkamah bahawa keluarga tertuduh sudah dimaklumkan mengenai pendakwaan yang dilakukan pagi ini.

Bagaimanapun, tiada ahli keluarga tertuduh kelihatan hadir ke mahkamah mengikuti prosiding berkenaan.

Ayuni kemudian menetapkan 14 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Komen & Pendapat

Comments are closed.