Perak Hari Ini

Tindakan tegas menanti pihak cetus provokasi perkauman – Hamzah

BAGAN SERAI: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan provokasi perkauman termasuk menerusi eksploitasi bahasa, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya ini kerana tindakan sedemikian jelas melanggar perlembagaan.

“Jangan lakukan sesuatu perkara mengikut perasaan untuk mengangkat mana-mana kumpulan. Negara ini masih berdaulat, kita ambil daripada penjajah untuk kepentingan bersama, bukan untuk kepentingan mana-mana kaum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Larut di Bukit Merah Lake Town Resort di sini, hari ini.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mengulas perbuatan pihak tertentu menampal tulisan Cina di tiga papan tanda nama jalan di Kuching, Sarawak yang tular menerusi media sosial baru-baru ini.

Sementara itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata setakat ini pemilihan serentak di semua bahagian parti bagi memilih Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu hari ini berjalan lancar.

Beliau berkata keputusan pemilihan membabitkan jawatan pengerusi, timbalan pengerusi, tiga naib presiden dan 20 ahli MPT tersebut dijangka diketahui pada 10 malam ini.

Selain itu, beliau berkata Perhimpunan Agung Bersatu yang dijadualkan pada 26 Sept depan dijangka ditangguhkan berikutan tarikh tersebut serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya akan menulis surat kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) Isnin ini untuk meminta penangguhan perhimpunan itu agar perwakilan dari Sabah dapat mengambil bahagian,” katanya.

Hamzah juga meminta semua ahli Bersatu memberikan sokongan 100 peratus kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Mohd Zaidi dan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan bekas guru, S. Santharasekaran. -Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");