Berita Hari Ini

Turun Harga Pelitup Muka Bukan Dibuat Secara Mengejut – Menteri

PETALING JAYA – Keputusan kerajaan menurunkan harga siling bagi pelitup muka pada kadar RM1 seunit daripada RM1.20 bukan dibuat secara mengejut, sebaliknya pengumuman mengenainya dibuat sejak lebih dua minggu lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi dalam menegaskan perkara itu berkata justeru, tiada alasan untuk peniaga menjual pelitup muka dengan harga lebih tinggi daripada kadar yang ditetapkan.

Beliau berkata kerajaan melaksanakan penetapan kadar harga itu secara berhati-hati, dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk pengguna dan juga pemain industri.

“Saya harap tiada masalah timbul, sebabnya kita umum penurunan harga sejak lebih dua minggu lepas dan ini (penurunan harga) bukannya dibuat secara mengejut,” katanya selepas pelancaran Kempen Jualan Malaysia (KJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Peringkat Selangor 2020 di Tesco Mutiara Damansara, di sini hari ini.

Berkuat kuasa hari ini, harga baharu bagi pelitup muka ditetapkan RM1, manakala harga borong alatan itu yang sebelum ini RM1.45 seunit juga diturunkan kepada 95 sen.

Sementara itu merujuk kepada program hari ini, Nanta berkata kempen itu mampu memperkukuhkan semula perbelanjaan domestik dengan menggalakkan pengguna membeli barangan keluaran tempatan, sejajar dengan usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");