Panasnya Hari Ini

Umno akan ‘makan’ PPBM, kata Tariq Ismail

Seorang bekas pemimpin PPBM percaya lebih ramai ahli akan meninggalkan parti itu berikutan Umno yang semakin dominan, termasuk teguran umum terhadap parti itu baru-baru ini.

Bekas ahli majlis pimpinan tertinggi PPBM Tariq Ismail mendakwa, ramai yang kecewa dengan keadaan semasa antara parti itu dan Umno.

“Saya percaya ramai ahli PPBM dapat melihat parti ini sudah dipengaruhi dan dikendalikan oleh mereka yang dulunya daripada Umno,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, presiden PPBM Muhyiddin Yassin mengumumkan hasrat parti itu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN), pakatan antara PAS dan Umno.

Tariq berkata, kebimbangannya sebelum ini ternyata benar mengenai pengambilalihan PPBM oleh Umno ketika parti itu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada Februari. Ia sekali gus menjadi punca kejatuhan kerajaan PH dan pembentukan Perikatan Nasional (PN) dengan Umno dan PAS.

Ia juga menyebabkan pengasas bersama PPBM Dr Mahathir Mohamad digulingkan dan mengumumkan parti baru, yang sejak itu menyebabkan beberapa ahli keluar parti dan bahagian dibubarkan.

“Sebelum keluar (dari PH), kami memberi amaran yang ini akan berlaku namun ia ditolak kerana dianggap palsu dan menjadi ejekan,” kata Tariq.

Walaupun ada pihak yang tetap bersama PPBM untuk membantu parti dalam perdebatan kuasa dengan Ummo, Tariq ragu-ragu, terutama mengingatkan apa digambarkannya sebagai kepemimpinan rabun. Katanya, parti itu akhirnya akan “dimakan oleh Umno”.

“Terutama mengenai pembahagian kerusi kerana kebanyakan kerusi dimenangi oleh PPBM secara tradisional ditandingi oleh Umno.” Beliau menyatakan Umno mempunyai lebih daripada 3 juta ahli, sementara PAS lebih 1 juta. “PPBM adalah kerdil dibandingkan dengan gergasi ini.”

PPBM dan Umno juga masih samar dalam pembahagian kerusi di Sabah, yang mana pilihan raya negeri akan diadakan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");