Perak Hari Ini

11 Bekas Lombong Di Kinta Dan Kampar Dikenal Pasti Bagi Projek Perikanan Bandar

IPOH: Sebanyak 11 kolam bekas lombong di Perak melibatkan Daerah Kinta dan Kampar yang kesemua berkeluasan 110 hektar telah dikenal pasti untuk dibangunkan Projek Perikanan Bandar ternakan ikan air tawar

Antara lokasinya adalah di Kampung Changkat Tin dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Changkat Tin, Tanjung Tualang; Taman Aman dan rancangan perumahan awam (RPA) Malim Nawar di Kampar.

Turut terlibat kawasan di Makam Teja di Kota Bahru, Gopeng; dua kolam bekas lombong di Kampung Redang Sawa, Gopeng; Kampung Changkat Legong; Bakap 4 di Batu Gajah; serta dua kolam bekas lombong di Kampung Changkat Bendera, Kinta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata projek yang bakal dijalankan selewatnya bulan hadapan itu mampu manfaat kepada 110 ketua isi rumah setempat.

Katanya dalam Pakej Rangsangan Ekonomi negeri fasa kedua yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Mei lalu, sejumlah RM1.7 juta diperuntukkan bagi projek tersebut.

Jelas beliau, menerusi inisiatif tersebut Jabatan Perikanan Negeri Perak akan memberi penumpuan kepada penyertaan nelayan darat setempat yang terdiri dalam golongan B40.

“Perkara ini dijangka ia akan dibincangkan pada minggu hadapan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

“Isu perikanan bandar ini mendapat perhatian dan sering disebut Menteri Besar. Justeru saya berpandangan tidak ada masalah untuk mendapat kelulusan.

“Dan ini juga sebahagian daripada projek kerajaan negeri dalam membantu mereka yang terjejas akibat COVID-19 yang melanda negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini yang mana ia turut dihadiri Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokri.

Selain itu, Abdul Yunus berkata dalam inisiatif tersebut spesies-spesies ikan yang terdapat di semua kolam bekas lombong tersebut akan ditukar kepada spesies ikan lain, contohnya ikan tilapia merah, patin, jelawat dan lampam.

“Di samping itu, kolam bekas lombong yang telah diwartakan juga boleh dibangunkan dengan aktiviti perikanan rekreasi sebagai tarikan kepada kaki pancing yang banyak terdapat di negeri ini,” jelas beliau.

Pada masa sama, katanya Daerah Kinta dan Kampar merupakan pengeluar utama ikan dari kolam bekas lombong di negeri sini selain di Daerah Batang Padang.

“Pada tahun 2019 sebanyak 520 metrik tan ikan air tawar bernilai RM3.4 juta telah didaratkan oleh nelayan darat dari kolam bekas lombong.

“Pada masa ini terdapat 512 orang nelayan yang menangkap ikan di dalam kolam bekas lombong di seluruh Perak,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");