Berita Hari Ini

30,000 hilang kerja, sektor hiburan mahu sekatan Covid-19 dilonggar

PENUTUPAN industri hiburan Malaysia menyebabkan 30,000 hilang pekerjaan, dengan pemuzik terpaksa menjual peralatan mereka, menyebabkan kumpulan inustri berkenaan meminta Putrajaya mengurangkan sekatan yang dikenakan pada Mac dan membenarkan mereka beroperasi semula.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Freddie Fernandez memberitahu The Malaysian Insight, Putrajaya perlu benarkan industri itu dibuka semula demi ahli muzik dan keluarga mereka.

Menurutnya, ada sebilangan ahli yang terpaksa menjual alat muzik mereka atau mengadakan persembahan di jalanan demi mencari sesuap nasi.

“Kami merayu pihak kerajaan agar mempertimbangkan pembukaan semula industri ini dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat.

“Ramai yang terpaksa menjual peralatan mereka, busking dan bekerja sebagai penghantar makanan untuk meneruskan hidup,” kata Fernandez.

Tambahnya, pihak persatuan sedang menyediakan memorandum untuk dihantar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

“Pemain industri dari pelbagai seksyen seperti ahli muzik, pemilik kelab dan premis hiburan memberikan pandangan mereka dalam memorandum yang akan dihantar kepada Saifuddin dua minggu lagi.”

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan membenarkan ahli muzik membuat persembahan di restoran yang sudah dibuka sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.

“Kerajaan juga boleh mengkaji untuk mengecualikan permohonan lesen hiburan kepada premis ini, agar mereka boleh membawa masuk kumpulan muzik ke premis mereka kerana mereka tidak membenarkan sebarang tarian,” kata Fernandez.

Walaupun banyak prniagaan dan aktiviti sudah dibenarkan beroperasi di bawah PKPP, kerajaan terus menghalang aktiviti di kelab malam, br, dan pub termasuk persembahan muzik secara langsung yang akan menarik khalayak.

Ini menyebabkan mereka dalam industri hiburan tersepit kerana tidak dapat bekerja sejak pertengahan Mac ketika PKP mula dikuatkuasakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Seorang penyanyi, Brenda Lee, 53 memberitahu The Malaysian Insight, beliau hilang sumber pendapatan sejak tujuh bulan lalu.

Lee yang sudah menjadi penyanyi sejak 30 tahun lalu berkata biasanya beliau mampu meraih pendapatan sebanyak RM4,000 hingga RM5,000 sebulan dengan membuat persembahan.

Dengan tiada pendapatan dan bantuan kewangan, beliau yang tinggal bersama ibu bapanya terpaksa menjual barangan miliknya dan menggunakan wang simpanan untuk meneruskan hidup.

“Saya jual beberapa barang saya untuk hidup, sekarang saya bergantung kepada barangan saya yang paling berharga seperti keybod namun sekiranya sekatan ini berterusan saya mungkin terpaksa menjualnya,” katanya.

Katanya, tidak adil untuk kerajaan meminta ahli muzik sepertinya mencari pekerjaan di luat bidang kerana hanya itu yang menjadi sumber pendapatannya.

Beliau turut mempersoalkan definisi yang kurang jelas oleh pihak berkuasa bagi membolehkan ahli muzik membuat persembahan.

Lee berkata, kerajaan mengumumkan bahawa ahli muzik tidak dibenarkan membuat persembahan di premis hiburan, mereka hanya dibenarkan membuat persembahan jalanan.

Persembahan jalanan atau busking adalah aktiviti bermain muzik di jalanan atau tempat umum untuk mendapatkan sumbangan.

Lee berkata, definisi itu memberi masalah kerana ahli muzik membuat persembahan untuk menjana pendapatan dan bukan meraih sumbangan.

Beliau berharap agar kerajaan membenarkan premis hiburan mengambil ahli muzik kerana mereka berdepan kesukaran dan tidak teragak-agak untuk mematuhi SOP selagi mereka dibenarkan bekerja.

Disisih tanpa bantuan 

Gerard Anthony, 39 yang juga penganyi berkata beliau melakukan pelbagai pekerjaan sejak tujuh bulan lalu.

Sebelum PKP, Anthony berkata beliau mampu meraih pendapatan sehingga RM9,000 sebulan dan kini beliau hanya mampu mendapat RM1,000 sebulan.

Menurutnya, beliau kini bergantung kepada wang simpanan dan membuat kerja sampingan seperti pelayan dan pembantu kedai.

“Kali terakhir saya buat persembahan adalah pada 17 Mac dan menjadi pemuzik sepenuh masa, saya kehilangan pendaoatan sejak tujuh bulan lalu,” katanya.

Katanya, pemuzik pub sentiasa menyokong inisiatif Kementerian Seni dan Budaya sejak bertahun lalu, namun apabila PKP dikuatkuasakan, beliau merasakan kerajaan menyisihkan orang sepertinya untuk bergantung pada diri sendiri.

“Hampir kesemua industri sudah pulih kecuali industri ini. Saya harap dapat kerja semula, itu sahaja yang saya mahu,” katanya.

Sementara itu, Jeremy Lee Danker berkata beliau kehilangan pekerjaan sejak PKP dikuatkuasakan.

“Sejak PKP dikuatkuasakan, saya hilang kerja dan peluang untuk membuat persembahan di pub, bar, restoran dan majlis.

“Hanya itu satu-satunya sumber pencarian namun sama seperti pemuzik lain, kita perlu pelbagaikan dan mencuba bidang lain untuk meneruskan hidup,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");