Berita Hari Ini

75 PATI Ditahan Operasi Benteng Semalam

PUTRAJAYA: Operasi Benteng yang dijalankan di seluruh negara, semalam, berjaya menahan 75 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata lima penyeludup dan dua tekong turut ditahan, manakala empat kenderaan darat dirampas.

“Sebanyak 91 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan, semalam, membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (69), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (10) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (12).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan di kawasan sempadan, terutama lorong tikus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai lalu hingga semalam, seramai 31,830 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa memetik BH Online.

Mereka pulang dari 33 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Individu terbabit ditempatkan di 67 hotel dan lapan premis lain, termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Daripada jumlah itu, seramai 8,342 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 71 lagi dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 23,417 individu pula sudah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");