Berita Hari Ini

Bandar besar tidak mampu pulih selagi sempadan ditutup

SUKAR bagi perniagaan di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru pulih selagi sempadan negara ditutup kepada pelancong asing, kata Dewan Perniagaan Cina Bersekutu dan Industri Malaysia (ACCCIM).

Meskipun pelancongan domestik dan kelonggaran di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) memberi sedikit kelegaan, namun banyak perniagaan akan sekali lagi berdepan masalah aliran tunai sebaik sahaja moratorium bayaran balik pinjaman berakhir 30 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perusahaan Kecil dan Sederhana ACCCIM Koong Lin Loong berkata banyak perniagaan masih belum pulih walaupun sebanyak 50% berbanding semasa sebelum pandemik Covid-19.

Menurut Koong walaupun tempahan hotel di kawasan tumpuan pelancong seperti Langkawi dan Semporna penuh, situasi ini bagaimanapun hanya bersifat sementara kerana bergantung kepada hanya kepada pelancong tempatan.

Perniagaan tetap perlu bergantung pada pelancong asing untuk kelangsungan jangka masa panjang, katanya.

“Sukar untuk kekalkan permintaan domestik, terutamanya di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Situasi sekarang sangat tidak bagus.”

Walaupun prestasi perniagaan di bandar besar lebih baik berbanding di pekan kecil disebabkan purata pendapatan dan perbelanjaan lebih tinggi, tetapi mereka juga menghadapi masalah kos everhed yang tinggi.

“Kos overhed di bandar besar lebih tinggi,” katanya.

Antara tiga bandar besar yang disebutkan, perniagaan di Johor Bahru paling terkesan, kata Persatuan PKS Johor Selatan.

Penasihatnya Teh Kee Sin berkata situasi di Johor lebih teruk jika dibandingkan dengan tempat lain di seluruh negara kerana banyak perniagaan tempatan amat bergantung pada rakyat Singapura.

“Tahap seriusnya bukan 5% atau 10%. Kalau anda ke kawasan perniagaan di Johor Bahru, sudah jadi seperti bandar hantu.

“Situasi ini sangat serius kerana perniagaan di Johor Bahru bergantung pada penduduk Singapura hampir 6 juta orang.

“Di media sosial, rakyat Johor kata ‘Sudah sampai masa untuk berdiri teguh’, atau ‘Masa untuk berhenti bergantung pada Singapura’. Tetapi realitinya, bagaimana?” kata Teh.

Menurut Teh banyak perniagaan dijangka akan tutup dalam beberapa bulan akan datang susulan kerajaan umum PKPP akan dilanjutkan sehingga 31 Disember.

Ini bermakna sempadan negara akan terus ditutup kepada pelancong asing. Putrajaya juga menyekat kemasukan dari 23 negara yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

“Bagaimana hendak bertahan? Mustahil. Sektor perkhidmatan dan pelancongan akan teruk terjejas, yang akan beri kesan besar kepada restoran, hotel, peruncitan dan banyak lagi,” jelas Teh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");