Berita Hari Ini

Banjir Kilat KL: Akan Kaji Punca, Penyelesaian Jangka Panjang – Annuar

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengkaji punca berlakunya banjir kilat di ibu negara petang semalam, serta mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengelakkan kejadian itu daripada berulang.

Bernama melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau akan meminta laporan daripada Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan keupayaan sistem pengairan dan mitigasi sedia ada.

Beliau berkata perlu dilihat juga, sama ada wang berbilion-bilion Ringgit yang dibelanjakan untuk buat sistem mitigasi dan Terowong Smart dan sebagainya berfungsi dengan baik, atau ia belum mencukupi dan sama ada kawalan pembangunan yang lebih teliti diperlukan.

Annuar berkata beliau juga tidak menolak kemungkinan banjir kilat yang disifatkan antara terburuk dan luar biasa itu, berpunca daripada pembangunan yang sedang dijalankan di beberapa lokasi.

“Saya nak lihat adakah aliran air yang banyak itu ada kaitan dengan kawasan yang sedang dibangunkan, kajian perlu dibuat untuk membolehkan DBKL melihat pelaksanaan pelan jangka panjang,” katanya menerusi siaran langsung di Facebooknya ketika mengadakan lawatan di pusat pemindahan banjir kilat di sini, malam tadi.

Annuar berkata jumlah taburan hujan yang lebih daripada biasa dan tidak berpadanan dengan sistem saliran sedia ada, juga dilihat menjadi punca kepada kejadian itu.

Hujan lebat yang bermula pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam mengakibatkan lima kawasan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat iaitu di Lebuh Ampang di pusat bandar, Jalan Raja Alang (Kampung Baru), Lorong Air Leleh (Setapak) dan Jalan Gurney serta Jalan San Ah Wing (Semarak).

Banjir kilat itu menyebabkan air naik setinggi satu hingga tiga meter di kawasan terjejas.

Seramai 15 mangsa yang terperangkap akibat banjir di Jalan Gurney dan Kampung Periuk di Jalan Raja Alang, telah diselamatkan oleh pihak bomba.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");