Berita Hari Ini

Bebas Dari ‘Tirai Besi’, Bekas Penghuni Penjara Diberi Peluang Pekerjaan

KAJANG: Kebanyakan orang merasakan bekas penghuni penjara sukar mendapat pekerjaan selepas selesai menjalani hukuman dan dibebaskan, keadaan yang dikhuatiri mendorong mereka kembali ke jalan yang salah.

Menyedari kesulitan yang dihadapi mereka yang mengharapkan peluang kedua, Jabatan Penjara melancarkan suatu projek, Program Penempatan Semula Penghuni Penjara, untuk membantu penghuni yang bakal bebas membina kehidupan baru.

“Ini merupakan satu projek amat penting Jabatan Penjara rasakan,” kata Pengarah Penjara Kajang, Abdul Halim Ma-hasan kepada FMT.

Beliau ketika ini menyelia pemulihan 6,870 orang yang menghuni Penjara Kajang.

Dalam pertemuan ini, Halim membuka mata FMT kepada betapa besar kesannya memberi pekerjaan kepada penghuni penjara.

“Semalam sahaja ada 150 orang akan bebas dan kebanyakan mereka tidak mempunyai tempat untuk ke mana-mana,” katanya.

Abdul Halim Ma-hasan

Halim menjelaskan keadaan seperti itu boleh menyebabkan seseorang terdesak dan dikhuatiri terdorong melakukan sesuatu yang salah.

“Akhirnya masuk balik penjara. Ini kami nak hentikan,” katanya, dan menambah memanfaatkan tenaga bekas penghuni penjara boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Barangkali Halim sudah mengagak masyarakat sendiri takut untuk menerima kembali bekas penghuni penjara, kerana beliau seterusnya berkata mereka diberi pemulihan selama dalam penjara untuk menjalani hukuman masing-masing.

“Kami usaha sediakan peluang kepada bakal penghuni dibebaskan. Ada NGO datang ke Penjara Kajang dan menawarkan pekerjaan kepada mereka.

“Mana-mana pihak boleh datang ke penjara untuk dapatkan penghuni penjara bakal bebas untuk kerja dengan mereka,” tambahnya.

Halim berkata Jabatan Penjara mahu menjalin kerjasama dengan majikan, syarikat, dan NGO yang menyediakan peluang pekerjaan – atau dalam erti kata lain dorongan membina hidup baru – kepada penghuni yang bakal bebas.

Ketika ini, seramai 900 bekas penghuni Penjara Kajang sedang berkhidmat di pelbagai syarikat menerusi Program Penempatan Semula Penghuni Penjara sejak tahun lalu.

Siti Murni Sheikh Ahmad

“Ini satu pendekatan baik dan mulia untuk beri peluang pekerjaan pada penghuni penjara,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak) juga menyediakan program peluang pekerjaan untuk bekas penghuni penjara.

Program i-Kembali menyediakan peluang di 6 sektor industri iaitu perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian, pemasaran, dan pengurusan.

“Bekas penghuni penjara yang terpilih akan melalui satu proses saringan di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) sebelum ditempatkan di sektor pekerjaan mengikut kesesuaian,” kata Pengerusi Siti Murni Sheikh Ahmad.

Beliau berkata majikan tidak perlu curiga untuk memanfaatkan i-Kembali kerana Pergak mematuhi SOP dan syarat yang disarankan kerajaan.

“Macam mana beri peluang kepada pekerja asing, begitu juga perlu beri peluang kepada warganegara Malaysia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");