Panasnya Hari Ini

Bicara Kes Ahmad Maslan Mula 16 Oktober

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan empat hari bermula 16 Oktober ini untuk perbicaraan kes Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung tuduhan pengubahan wang haram dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

BH Online melaporkan Hakim Azman Ahmad menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mokhtar memaklumkan pendakwaan sudah sedia maklum mengenai tarikh yang ditetapkan dan dipersetujui kedua-dua pihak.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 16 dan 23 Oktober juga 6 November serta 24 Disember.

Sementara itu peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad mengesahkan tarikh berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau yang juga bekas timbalan menteri kewangan dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, yang mana cek itu ditunaikan sendiri tertuduh pada hari sama.

Oleh itu, tertuduh didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi yang membabitkan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ahmad juga dituduh memberi penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Pada 14 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Ahmad untuk membuat semakan bagi keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan beliau dibebaskan daripada dua pertuduhan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam menolak kedua-dua permohonan Ahli Parlimen Pontian itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.

Sebelum itu pada 24 Julai lalu, Mahkamah Sesyen sama juga menolak permohonan pembatalan pertuduhan yang dihadapi Setiausaha Agung UMNO itu selepas berpuas hati permohonan berkenaan adalah pramatang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");