Berita Hari Ini

Cemar Sungai Gong: 5 Termasuk Empat Beradik Hadapi Dua Tuduhan

KUALA LUMPUR: Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini, hari ini berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang.

Empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 70 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel, Ho Voon Leong, 59, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Bagi pertuduhan kedua, semua mereka dituduh dengan niat bersama melepaskan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke Sungai Gong tanpa lesen.

Kedua-dua kesalahan itu dituduh dilakukan di premis Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd, di lot 4219, Jalan Batu Arang, Kampung Sungai Dua, Rawang, Gombak pada 2 hingga 3 September.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan lapor BH Online.

Mereka turut dituduh mengikut Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan semua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 27 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskadar Ahmad, Mohd Ashraf Kamal, Mohd Izhanudin Alias dan Arunjothi, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Datuk M Reza Hassan.

Pada 3 September lalu, berlaku pencemaran minyak di sungai berkenaan yang telah menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Kejadian itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan kira-kira lima juta pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");