Berita Hari Ini

‘Contohi pendekatan PM yang fokus bekerja’

Pendekatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat memberi sepenuhnya tumpuan terhadap pentadbiran negara, adalah cerminan politik baharu negara.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Perdana Menteri amat fokus dalam bekerja demi rakyat berbanding berpolitik.

Pendekatan itu, katanya, wajar dicontohi semua pihak dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Pendekatan Perdana Menteri adalah cerminan politik baharu di Malaysia, beliau dilihat kurang berpolitik tapi banyak bekerja dan terus buat kerja.

“Itu yang menjadi harapan kita dan amalan kerajaan baharu jika berjaya ambil alih tampuk pemerintahan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Penutupan Bengkel Penerangan (Bahagian, Srikandi dan Armada) BERSATU Sabah di sini, hari ini.

Pada masa sama, Masidi menyifatkan suasana kerjasama akan lebih mudah sekiranya kerajaan negeri berada di landasan sama dengan kerajaan Persekutuan.

Katanya, keutamaan kerajaan negeri sepatutnya menjurus kepada menyelamatkan sektor ekonomi yang terkesan berikutan pandemik COVID-19.

“Keutamaan kita adalah untuk memulihkan ekonomi dengan memberi tumpuan kepada usaha menyemarakkan kegiatan ekonomi dan kurangkan berpolitik.

“Saya tidak mahu komen apa Parti Warisan Sabah (WARISAN) sudah lakukan kerana setiap kerajaan ada dasar masing-masing, cuma bagi saya ada keperluan untuk mereka memberi tumpuan menyelamatkan ekonomi dan mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Saya tidak nafikan WARISAN juga telah berusaha tetapi mereka memerlukan bantuan kerajaan Persekutuan untuk itu.

“Seperti dikatakan Perdana Menteri sebelum ini, kerajaan negeri dan Persekutuan harus sehaluan dan bergerak ke arah yang sama untuk mempertingkatkan ekonomi,” katanya.

Masidi turut menyatakan kelegaan melihat pembabitan orang muda daripada parti BERSATU yang serius terhadap politik.

Malah, katanya, untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, hampir separuh persediaan dikendalikan oleh anak muda dan ia adalah masa terbaik mendidik mereka untuk mengambil alih.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");