Berita Hari Ini

COVID-19: Individu Negatif Tanpa Gejala, Bukan Kontak Rapat Tidak Wajib Kuarantin

PUTRAJAYA: Individu yang pulang dari Sabah dan diuji negatif, tidak bergejala serta bukan kontak rapat pesakit COVID-19 tidak diwajibkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Bagaimanapun BH Online melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata individu terbabit digalakkan menjalani kuarantin kendiri atas inisiatif sendiri.

Beliau berkata, selepas menjalani ujian saringan, mereka akan diberi tempoh kuarantin dan diberikan surat untuk kuarantin di rumah (HSO) atau perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

“Mereka akan dipakaikan gelang sehingga mendapat keputusan dan kalau keputusannya negatif dan bukan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) atau Individu Dalam Pemerhatian (PUS), kita akan bebaskan dia tanpa menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Bagaimanapun, kita masih akan menasihati mereka supaya patuh SOP dan kawalan kendiri iaitu kalau boleh mereka duduk di rumah sampai 14 hari atas inisiatif dan usaha sendiri,” katanya dalam sidang media COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, individu terbabit boleh ke klinik kesihatan atau Pusat Kesihatan Daerah (PKD) untuk menjalani ujian calitan pada hari ke-13 bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada COVID-19.

Beliau berkata, mana-mana individu yang didapati positif sekembali dari Sabah akan terus dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan.

Katanya, mana-mana individu yang didapati negatif namun bergejala serta ada kontak rapat dengan mereka yang positif akan dikuarantin selama 14 hari.

“Contoh terbaik adalah Kluster PUI Sivagangga di Kedah apabila mereka yang kembali dari negeri itu akan disaring tapi tak pernah kuarantin mereka dan kena faham apa yang kita laksanakan di Sabah sama seperti kaedah di negeri lain seperti Kedah,” tegasnya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, mereka yang bermasalah untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah berikutan kekangan termasuk tiada ruang yang sesuai atau tinggal bersama golongan berisiko, boleh menghubungi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya dapat dipertimbangkan untuk menjalani kuarantin di Institut Latihan Awam (ILA).

“Mereka tidak ada masalah sekiranya persekitaran dan ruang di rumah tidak membantu, mereka boleh menghubungi NADMA dan kita akan membantu mempertimbangkan permohonan mereka untuk ditempatkan di Pusat Kuarantin ILA.

“Ada juga kes dari ILA yang mahu kuarantin di rumah, jadi kita akan mengambil kira semua aspek termasuk sekiranya seseorang itu ada masalah kemurungan dan sebagainya untuk memastikan dia dapat menjalani kuarantin tanpa masalah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");