Berita Hari Ini

COVID-19: Malaysia Catat 101 Kes Baharu

PUTRAJAYA – Malaysia mencatatkan 101 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kes positif adalah 11,135 dengan kebolehjangkitan adalah 1,062 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada kes baharu itu, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan seorang warganegara dan tiga bukan warganegara dari Myanmar iaitu dua kes di Sarawak, Arab Saudi (satu kes di Sarawak) dan Nigeria (satu kes di Selangor).

“Daripada 97 kes penularan di dalam negara, 93 kes adalah warganegara Malaysia dan empat kes adalah bukan warganegara.

“Sebanyak 17 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah pada hari ini, menjadikan jumlah kes sebanyak 63 sejak 20 Sept lepas,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19, lapor Bernama.

Sebanyak 50 kes yang telah pulih COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 9,939 kes (89.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Dr Noor Hisham berkata terdapat 13 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiada pertambahan kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal 134 kes (1.20 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Memperincikan penularan kes hari ini, Dr Noor Hisham berkata 73 melibatkan kes di Sabah iaitu 51 kes daripada Kluster Bangau-Bangau yang melibatkan 48 warganegara dan tiga bukan warganegara; lapan saringan bergejala melibatkan warganegara; tiga daripada kluster baharu iaitu Kluster Jalan Bomba (warganegara); dua daripada Kluster Benteng LD (warganegara); dua daripada Kluster Kuarters (warganegara); dan dua kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jalan Utara (warganegara).

Selain itu, satu kes saringan rujukan ke Hospital Sandakan melibatkan warganegara; satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 iaitu kes ke-11119 melibatkan warganegara; satu kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (warganegara); satu kes saringan petugas kesihatan (warganegara) dan satu saringan komuniti (warganegara).

Dr Noor Hisham berkata 14 kes adalah di Selangor iaitu sembilan kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang kesemuanya melibatkan warganegara; dua saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 iaitu bagi kes ke-10776 dan kes ke-11129; satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Benteng PK (warganegara); satu kes daripada Kluster Jalan Apas (warganegara); dan satu kes saringan sebelum pulang ke negara asal melibatkan bukan warganegara.

Dua kes di Johor adalah daripada kluster baharu iaitu Kluster Bakawali yang kesemuanya melibatkan warganegara, manakala di Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Putrajaya dan Perlis masing-masing satu kes iaitu kes saringan pulang dari Sabah melibatkan warganegara.

Sementara itu, merujuk isu tular mengenai sebuah pusat membeli belah yang mengeluarkan kenyataan berhubung pekerja yang disahkan positif COVID-19, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menghargai tindakan proaktif pusat itu yang membantu dalam langkah kawalan dan pencegahan.

Bagaimanapun, KKM perlu menjalankan siasatan terperinci sebelum menyatakan sesuatu kawasan sebagai berisiko tinggi (hotspot) memandangkan penentuan hotspot adalah berdasarkan lokasi kes positif dan yang berpotensi menjadi punca penularan COVID-19.

“KKM perlu melakukan penilaian risiko dan kadar kebolehjangkitan sebelum menyatakan sesuatu tempat sebagai berpotensi menjadi punca penyebaran virus COVID-19,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");