Perak Hari Ini
Like

COVID-19: Selangor, Pahang Rekod Satu Kes Baru, Babitkan Individu Baru Pulang Dari Sabah

September 25, 2020
383 Views
0 Comments
2 minutes read
COVID-19: Selangor, Pahang Rekod Satu Kes Baru, Babitkan Individu Baru Pulang Dari Sabah

PUTRAJAYA: Pahang dan Selangor masing-masing merekodkan satu kes positif baharu COVID-19 setakat jam 12.00 tengah hari pada Jumaat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, kedua-dua kes melibatkan warganegara Malaysia yang baru pulang dari Sabah.

“Di Pahang, satu kes saringan bergejala yang melibatkan warganegara. Kes mempunyai sejarah pulang dari Semporna, Sabah.

Di Selangor pula, satu kes saringan bergejala yang melibatkan warganegara. Kes mempunyai sejarah pulang dari Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengulangi saranannya supaya individu bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah wajib melakukan ujian saringan COVID-19 di fasiliti kesihatan berhampiran memetik Astro Awani.

“Individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah juga amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat di sekitarnya.

“Sebarang perubahan kepada arahan ini akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa. Elakkan mempercayai dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau palsu,” ujarnya.

Kes positif COVID-19 di Malaysia kembali mencatatkan tiga angka dengan merekodkan 111 kes setakat jam 12.00 tengah hari pada Jumaat, 25 September 2020.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah tersebut, 107 daripadanya adalah kes penularan tempatan manakala hanya empat kes import.

Menurutnya, daripada 111 kes keseluruhan yang direkodkan, 97 kes daripadanya adalah dari Sabah manakala selebihnya daripada Semenanjung Malaysia termasuk di Kedah dengan lapan kes.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,687 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 858 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Terdapat 30 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini (Jumaat). Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,696 kes.

“Daripada 107 kes penularan di dalam negara, 76 kes adalah warganegara Malaysia dan 31 kes adalah bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Comments are closed.