Perak Hari Ini

Dakwaan Anwar Satu Lagi Gimik Politik, MP Bersatu Sokong Muhyiddin – Ahmad Faizal

IPOH: Dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebut beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu adalah sebagai satu lagi gimik politik.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata tindakan Presiden PKR itu juga dilihat sebagai cubaan untuk mengucar-ngacirkan kepimpinan negara.

“Ia dilihat tidak lebih daripada percubaan untuk mengucar-kacirkan kepimpinan negara tatkala rakyat semakin yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin untuk menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi susulan penularan pandemik Covid-19.

“Sekiranya Datuk Seri Anwar benar-benar mempunyai sokongan majoriti, beliau seharusnya membuktikan dakwaan itu menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu Ahmad Faizal berkata apabila kenyataan Anwar dilaporkan media antarabangsa, tindakan itu juga dilihat seolah-olah sebagai cubaan mensabotaj ekonomi negara dengan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan kerajaan.

“Perbuatan ini sama sekali tidak baik kepada ekonomi negara tatkala kerajaan sedang memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakyat dan membantu komuniti perniagaan untuk terus kekal berdaya saing dalam tempoh yang amat mencabar ini.

“Ahli-ahli Parlimen Bersatu menyeru semua rakyat untuk kekal bertenang dan terus memberikan sokongan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin dan kepimpinan kerajaan untuk terus menumpukan perhatian kepada urusan pentadbiran negara dalam keadaan kita masih berperang melawan pandemik Covid-19,” katanya.

Justeru tambah beliau, kesemua Ahli Parlimen BERSATU memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin untuk terus menerajui kepimpinan negara.

“Kami menaruh keyakinan penuh kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin yang telah membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat dan menjana semula ekonomi negara yang amat terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 sejak enam bulan yang lalu,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");