Berita Hari Ini

DAP tanding Sabah dengan logo Warisan, umum Guan Eng

DAP akan bertanding menggunakan lambang Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan hujung bulan ini, umum Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP berkata keputusan itu bagi memastikan pentadbiran Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal dikembalikan ke tampuk kuasa, sekaligus menolak politik oportunis yang khianat.

“Menghormati kehendak pimpinan DAP dan penyokong di Sabah, saya dengan mengumumkan semua calon DAP Sabah akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang di bawah bendera Parti Warisan Sabah.

“Pertaruhan politiknya terlalu berharga. Kita tidak boleh kalah pilihan raya negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Lim, hanya sebuah barisan yang bersatu akan memastikan Warisan dan sekutunya, yang dikenali sebagai Warisan Plus, akan menang.

Pengumuman Lim ini menjadikan hanya PKR satu-satunya komponen dalam Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding dengan logonya sendiri.

Amanah sebelum ini juga mengumumkan bertanding atas tiket Warisan.

Dalam kenyataannya, Lim juga berkata pilihan raya negeri hujung bulan ini penting untuk masa depan Malaysia.

Katanya, kemenangan Warisan dan sekutunya akan menghantar isyarat rakyat menolak politik khianat.

“Kita menolak wakil rakyat yang boleh dibeli dengan duit, kita mesti sokong wakil rakyat yang bertanggungjawab kepada pengundi,” katanya.

Kerajaan yang didirikan oleh wakil rakyat yang mudah dibeli hanya akan mengkhianati dan merompak rakyat, tambah.

“Sabah kini adalah harapan untuk Malaysia,” katanya, merujuk pada harapan untuk kerajaan yang demokratik, adil, menolak rasuah dan melindungi masa depan rakyat.

Warisan dan sekutunya dijadual mengumumkan calon mereka dalam satu majlis di Kota Kinabalu esok, serentak dengan pengumuman berasingan oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (BN).

BN diterajui Umno dan disertai MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), sementara Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai sekutunya.

PN pula dibentuk oleh Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

PN yang akan menyertai pilihan raya negeri Sabah dijangka dilancarkan dalam satu majlis di Kota Kinabalu petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada Sabtu, 12 September dan pengundian pada 26 September.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");