Berita Hari Ini

Elaun Sara Hidup Nelayan Dinaikkan Ke RM300 Sebulan

BEAUFORT – Kerajaan bersetuju menaikkan Elaun Sara Hidup Nelayan dari RM250 kepada RM300 sebulan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya ingin ingatkan, sewaktu Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, Warisan adalah sebahagian daripada PH. Di waktu itu, elaun sara hidup nelayan dipotong dari RM300 kepada RM250.

“Hari ini saya ingin umumkan, kita kembalikannya semula,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh ketika berucap melancarkan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit Huma, di Dataran Bagandang, di sini, kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu, hari ini, lapor Bernama.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dua timbalannya Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun dan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Skim itu antara lain memberi bantuan berupa geran, elaun, skim ternakan, dan zakat kepada golongan peladang, penternak dan nelayan yang layak mendapatnya dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup golongan itu.

Skim berkenaan melibatkan agensi seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Agrobank.

Elaun sara hidup itu termasuk dalam skim yang dilancarkan itu memanfaatkan seramai 7,581 nelayan di Sabah.

Skim itu juga meliputi Insentif Skim Rezeki Ternak dengan peruntukan sebanyak RM1.73 juta yang akan memanfaatkan penternak ruminan dan penternak unggas berskala kecil dan sederhana.

Geran Agropreneur Muda dengan peruntukan sebanyak RM2.94 juta pula akan memberi manfaat kepada 182 usahawan dan Insentif Projek Pembangunan Industri Kopi dengan peruntukan RM556,000.

Muhyiddin berkata kerajaan mendengar dan memahami kesusahan golongan nelayan, penternak dan petani khasnya ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

“Saya mendengar dan memahami kesukaran hidup golongan nelayan dalam berdepan saat-saat sukar negara menghadapi wabak COVID-19. Saya berharap kenaikan elaun ini akan sedikit sebanyak mengurangkan beban yang dihadapi,” katanya.

Perdana menteri dalam ucapannya juga menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambill pendekatan yang sewajarnya berkaitan bantuan yang diberikan termasuk dalam sektor pertanian demi kestabilan ekonomi negara.

“Saya sebutkan ini ialah kenapa, kesan daripada masalah yang kita hadapi akan menyebabkan ekonomi kita hampir runtuh, kerana itu kerajaan bertindak (memberi bantuan) termasuklah bagi sektor pertanian supaya ekonomi kita tidak akan jatuh. Rakyat tidak akan menderita dalam keadaan sebegini,” katanya.

Muhyiddin menarik perhatian, dengan keupayaan kerajaan PN yang ada, Malaysia berupaya untuk menangani COVID-19 hingga diangkat menjadi antara negara terbaik dalam aspek pengurusan pandemik itu.

“Ini perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia (COVID-19), tidak pernah berlaku di mana-mana di seluruh dunia, di negara lain masalah COVID-19 masih terus berlaku, sebagaimana juga Malaysia.

“Sekurang-kurangnya Malaysia ini dengan keupayaan kita kerajaan (PN), maka Malaysia sudah sampai tahap nombor satu dalam usaha mengatasi dan menghadapi masalah COVID-19,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");