Perak Hari Ini

Ibu Pakai Kaki Palsu Lebih 20 Tahun

LUMUT: Seorang wanita tabah menghadapi ujian hidup apabila kehilangan kaki kanan dan memakai kaki palsu lebih daripada 20 tahun.

Norlida Zainal, 43 berkata dia menggunakan kaki palsu untuk memudahkan pergerakannya ekoran kemalangan yang dihadapinya sewaktu berumur 17 tahun.

“Dengan adanya kaki palsu ini ianya memudahkan urusan saya untuk menjalani kehidupan sehari-harian.

“Kini saya ada menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual kuih dan mi goreng di hadapan rumah bagi menampung keperluan hidup,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 13, Jalan Segari di Pantai Remis, dekat sini, hari ini.

Ujarnya selain mampu memperoleh keuntungan sehingga RM300 sebulan, suaminya yang merupakan seorang nelayan turut menerima bantuan enjin sangkut daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk),pada 2017.

“Sebelum-sebelum ini saya ada menerima sumbangan kaki palsu daripada pelbagai pihak. Terbaru saya menerima bantuan kaki palsu daripada MAIPk pada 2018,” jelas ibu kepada lima cahaya mata itu.

Sementara itu, seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak berharap dapat mendiami rumah sendiri selepas menumpang di rumah ibunya yang terletak di Kampung Tebuk Yan 2, di sini sejak lebih lima tahun lalu.

Eami Said, 41, berkata, semenjak kematian suami, dia yang sebelum ini menetap di Shah Alam, Selangor mengambil keputusan pulang ke kampung dan menjalankan perniagaan jualan kek bagi menyara kehidupan mereka empat beranak.

“Sekarang ada 12 orang termasuk saya dan anak-anak tinggal di rumah emak dan sudah tentu keadaan sempit dan kurang selesa.

“Disebabkan itu saya nekad untuk mendapatkan bantuan bina rumah MAIPk di bawah bantuan zakat.

“Saya sudah hantar permohonan pada Julai lepas dan alhamdulillah, kunjungan MAIPk hari ini bawa berita gembira untuk pertimbangkan permohonan itu dengan segera.

“Memang saya berharap ianya diluluskan, dapatlah kami empat beranak bina hidup sendiri tanpa perlu menumpang lagi,” katanya lagi.

Mereka merupakan antara penerima bantuan daripada MAIPk yang dikunjungi Skuad Prihatin Asnaf (SPA) bagi Program Ziarah Korporat 2020 Menelusuri Kehidupan Asnaf, hari ini.

Menurut Pengurus Pemasaran MAIPk, Muhammad Faiz Zakaria, progam yang melibatkan 32 syarikat korporat itu bertujuan memberi pendedahan kepada pembayar zakat korporat dan peluang kepada mereka menyantuni 80 keluarga asnaf yang berada di sekitar daerah Manjung.

“Kita juga membuat serahan seperti bantuan kotak makanan kepada asnaf yang tersenarai antaranya membabitkan penerima bantuan bulanan, baik pulih rumah, bina rumah, perubatan dan permohonan baru,” kata beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");