Berita Hari Ini

Jagjit persoal kehidupan mewah bekas pegawai Rosmah

Perbicaraan Rosmah Mansor yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd berhubung projek solar hibrid di Sarawak menjadi hangat semasa peguamnya, Jagjit Singh menyoal saksi pendakwaan ke-21, Rizal Mansor.

Sebaik prosiding perbicaraan bermula pada kira-kira jam 9.45 pagi, bekas pegawai khas isteri bekas perdana menteri itu diasak mengenai kehidupan mewahnya sebagai penjawat awam dengan gaji RM7,000.

Jagjit yang mewakili Rosmah, memulakan soalan dengan bertanyakannya sama ada Rizal adalah seorang penjawat awam dengan jawatan sebagai pegawai tugas-tugas khas kepada perdana menteri dengan gred-48, dan gaji sebanyak RM7,000 sebulan.

Rizal: Ya, penjawat awam sepenuh masa.

Jagjit: Setuju, keseluruhan gaji dan elaun bagi tempoh perkhidmatan adalah sebanyak RM660,282.72

Dengan gaji sebanyak itu, kamu tinggal di sebuah rumah bernilai RM3.5 juta, memiliki kereta Mercedes Benz, BMW, Audi, Toyota Vellfire dan Honda Odyssey.

Sekalipun anda tidak membelanjakan satu sen pun… kita andaikan anda hanya hidup dengan udara, air dan kasih sayang. Tidak mungkin anda mampu memiliki kehidupan mewah seperti itu.”

Rizal: Tidak setuju. Saya tidak bersetuju dengan fakta yang dibangkitkan.

Saya tidak ada Mercedes dan Vellfire.

Jagjit: Audi, Odyssey?

Rizal: Ya.

Jagjit: Satu-satunya cara anda mampu hidup mewah adalah kerana anda seorang mengamalkan rasuah?

Rizal: Tidak setuju.

Semalam, saksi utama pendakwaan itu memberitahu mahkamah bahawa Jepak berhasrat untuk memberi sumbangan kepada Najib sebagai penghargaan kepada bekas perdana menteri itu dalam membantu syarikat itu memperoleh projek solar hibrid serta bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang.

Pada prosiding hari ini, Rizal juga bersetuju dengan Jagjit bahawa RM5 juta yang disifatkannya sebagai ‘sumbangan politik’ tidak dimaksudkan untuk isteri bekas perdana menteri itu.

Menjawab soalan, sama ada dia dibenarkan untuk mendapatkan sumbangan politik, Rizal sekali lagi menyatakan: “Tidak.”

Jagjit: Sumbangan politik semuanya dilakukan oleh kamu secara tidak sah?

Rizal: Tidak setuju, pemahaman saya mengenai perkara itu (sumbangan politik) adalah berbeza.

Jagjit: Ada resit daripada semua wang yang dikumpul?

Rizal: Tidak ada.

Jagjit: Setuju bahawa wang yang diberikan tidak pernah diterima oleh Rosmah?

Rizal: Sangat tidak bersetuju.

Jagjit: Saya letakkan kepada anda bahawa sebenarnya, semua bukti ini adalah keterangan palsu untuk mengenakan Rosmah dan bertujuan membuat perjanjian dengan pihak pendakwaan?

Rizal: Saya sudah mengangkat sumpah dan bercakap benar.

Mengenai RM500,000 yang diterimanya pada Disember 2016, Rizal yang telah diletakkan di bawah program perlindungan saksi, berkata pada awalnya beliau tidak tahu wang itu adalah sebahagian daripada pembayaran RM5 juta.

Rizal: (Berkenaan RM500,000) dia (Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin) cuma cakap nak datang (rumah) melalui telefon dan dia sebut dia cuma nak serahkan ‘durian musang king’ yang saya faham apa maksud ‘durian musang king’ itu.

Jagjit: Jadi (musang king) itu isyarat untuk wang korup. Kamu tahu mereka (Saidi dan Rayyan – rakan kongsi Saidi – Rayyan Radzwill Abdullah) datang ke rumah kamu untuk menyerahkan ‘musang king’, wang korup.

Rizal: Ya.

Rizal bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Jagjit bahawa beliau memberi keterangan palsu berhubung RM5 juta yang dihantar ke kediaman rasmi Rosmah di Kompleks Seri Perdana pada Disember 2016, hari yang sama beliau menerima RM500,000.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian ditangguhkan sehingga Khamis ini selepas peguam itu memaklumkan mahkamah bahawa Rosmah sakit gigi dan perlu berjumlah doktor.

Rosmah, 68, didakwa meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Saidi Abang Samsudin menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");