Sukan Hari Ini

JDT Baham Perak

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Super selepas membaham Perak 7-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

BH Online melaporkan kini pasukan yang menjuarai liga enam musim berturut-turut itu perlu mengharungi baki lima perlawanan untuk memburu kejuaraan ketujuh sekali gus mencipta sejarah bola sepak Malaysia sebagai satu-satunya pasukan memenangi liga tujuh musim berturut-turut.

Serangan berterusan tuan rumah gagal dikekang benteng pelawat selepas gol menjelma pada minit ke-22 apabila bola bergolek tepat ke kaki Afiq Fazail dan begitu mudah untuknya melencong tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Nasrullah Abdul Aziz.

Tuan rumah meneruskan derita anak didik Mehmet Durakovic apabila mencipta gol kedua selepas bola umpanan Leandro Velazquez di dalam kotak penalti membuka ruang buat Gonzalo Cabrera merembat bola tepat ke penjuru kanan untuk kedudukan selesa 2-0.

Gol ketiga tuan rumah bagaikan menamatkan sisa perjuangan pelawat apabila Cabrera mencetak gol kedua peribadi selepas menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-44 berpunca daripada kesilapan Rafiuddin Roddin mengasari Diogo Luis Santo di dalam kotak penalti.

Pemain meningkat naik, Ramadhan Saiffullah Usman ternyata berada di dalam kelas tersendiri apabila menjaringkan gol pada minit akhir babak pertama selepas melakukan sepakan voli di luar kotak penalti memerangkap Nasrullah yang sekadar melihat bola menerjah jaring.

Bersambung babak kedua Cabrera melakar hatrik pertama buat dirinya dalam saingan liga apabila menjaringkan gol pada mint ke-63 selepas menyudahkan bola hantaran Ramadhan untuk meletakkan tuan rumah selesa dengan jaringan 5-0.

Pemain gantian, Safawi Rasid yang masuk menggantikan Ramadhan turut mencipta jaringan pada minit ke-78 selepas bertindak secara solo dan sempat mengelirukan Nasrullah sebelum merembat bola leret ke gawang yang terbuka luas.

Akhyar Rashid turut mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-84 melengkapkan kemenangan 7-0 membelasah Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");