Berita Hari Ini

Kedaulatan Sabah Dan Sarawak Dipertahankan Tanpa Kompromi – Muhyiddin

SIBU: Kerajaan tidak akan tunduk terhadap sebarang desakan luar yang cuba mempertikaikan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.

Harian Metro melaporkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Pusat tidak berkompromi dalam soal membabitkan kedaulatan kedua-dua negeri itu.

“Soal kedaulatan wilayah juga akan terus kita pertahankan tanpa sebarang kompromi. Saya ingin tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara kita,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu, di sini, malam ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bersama isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara serta agensi penguatkuasaan akan memikul tanggungjawab bersama untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan bagi mengekang sebarang cubaan untuk menceroboh dan mengancam kedaulatan negara.

“Ini termasuk melaksanakan Ops Benteng dan meningkatkan penguatkuasaan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang ditubuhkan 9 September lalu diyakini dapat menyelesaikan isu dianggap sukar untuk diselesaikan dengan baik di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Muhyiddin turut merakam penghargaan kepada kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari yang berunding dengan Petronas melalui Majli Khas itu untuk mencapai kata sepakat mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak.

Beliau juga memberi jaminan Majlis Khas itu akan mengadakan rundingan sama dengan Sabah selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

“Saya percaya apabila Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sehaluan, yang untung ialah rakyat. Insya-Allah, rundingan dengan Sabah akan kita mulakan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah selesai,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");