Berita Hari Ini
Like

Kembalikan Semangat Hayati Rukun Negara – Halimah

September 16, 2020
136 Views
0 Comments
5 minutes read
Kembalikan Semangat Hayati Rukun Negara – Halimah

PUTRAJAYA – Suatu masa dahulu, gam dan batang lidi merupakan barang yang mesti dibawa ke sekolah, setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan.

Murid akan melukis sendiri bendera menggunakan pensil warna atau krayon sebelum dilekatkan pada batang lidi menggunakan gam, dan bukannya dibeli dengan mudah seperti sekarang, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, ketika mengimbau saat manisnya menjadi pendidik di Sekolah Kebangsaan Assunta Convent, Kuantan, Pahang, sebelum menceburi dunia politik.

Beliau berkata, kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan atau kini dikenali sebagai Hari Kebangsaan, akan disambung dengan nyanyian lagu Negaraku dan melafaz ikrar Rukun Negara di dalam kelas.

Proses menghasilkan bendera itu menurut beliau adalah proses pembelajaran, yang membolehkan pelajar memahami maksud setiap jalur merah putih, warna biru serta bintang dan bulan sabit berwarna kuning, pada Jalur Gemilang.

“Walaupun pada pandangan orang lain ia hanya sekadar aktiviti melukis bendera, situasi pada waktu itu amat berbeza, kerana penghayatan murid-murid terhadap prinsip Rukun Negara amat tinggi dan keterujaan mereka amat jelas terpancar,” katanya, sebagaimana dilaporkan Bernama.

Yakin bahawa kunci perpaduan adalah melalui penghayatan kepada Rukun Negara, beliau nekad untuk mengembalikan semangat dan penghayatan kepada lima prinsip yang terkandung dalam falsafah negara itu, sama seperti dahulu.

“Seperti orang lama sebut, balik kepada asal. Jadi kena lihat kembali semangat suatu masa dahulu, bagaimana untuk mengembalikannya semula.

“Ini supaya Rukun Negara bukan saja terletak di kulit buku, bukan hiasan tapi sepatutnya diamalkan, dan untuk mengamalkan ia perlu dihayati dulu,” katanya ketika ditemu bual dalam dokumentari khas Bernama bertajuk ‘Rukun Negara: A Nation United’ (Rukun Negara: Sebuah Negara Bersatu), di sini, baru-baru ini.

Dokumentari dua episod itu diterbitkan Bernama, bersempena dengan ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang disiarkan antara 31 Ogos sehingga 19 Sept di BernamaTV di Saluran 502 ASTRO, Njoi 502, UnifiTV 631 dan MyFreeView 121, selain laman Facebook rasmi BernamaTV dan saluran YouTube.

Menyedari hakikat ia perlu dipupuk sejak dari usia awal kanak-kanak, usaha diambil pihak kementeriannya dengan menubuhkan jawatankuasa pendidikan Rukun Negara, yang dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perpaduan Negara dengan dianggotai KSU daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan.

Peranannya antara lain meneliti cadangan bagi menerapkan pendidikan Rukun Negara dalam kurikulum sekolah dari peringkat Tabika, sekolah rendah, sehinggalah ke sekolah menengah, dalam usaha memupuk penghayatan terhadap Rukun Negara dan menguatkan perpaduan dalam negara.

“Dulu ada pendidikan Tatarakyat, kita belajar segalanya mengenai raja kita, bendera kita dan perkara yang perlu kita tahu sebagai warganegara.

“Atas dasar itu kita nak wujudkan kembali pendidikan Rukun Negara, dengan pindaan kepada sistem pendidikan negara,” katanya.

Sementara proses itu dimuktamadkan katanya, Kelab Rukun Negara yang terdapat di 6,621 sekolah rendah dan menengah selain 172 Sekretariat Rukun Negara di institut pengajian tinggi dan swasta, akan diperkukuh dengan menjalankan pelbagai program, bagi menyemarakkan kefahaman dan kepentingan tentang Rukun Negara.

Selain itu beliau berkata, kerajaan juga kini sedang menyediakan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2025, dengan segala pandangan dan aspirasi rakyat akan dikumpul menerusi program jerayawara, dan dijangka selesai pada bulan ini.

“Kita sudah bentang kertas pelaksanaan maklum balas Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2025 kepada (mesyuarat) Kabinet (baru-baru ini), dan pelancaran kempen maklum balas itu akan dilaksanakan oleh semua negeri.

“Saya teruja kerana kempen maklum balas Pelan Tindakan Perpaduan Negara ini disambut baik semua negeri. Ini kerana apabila kita berbicara soal perpaduan, ia jadi tanggungjawab bersama tidak kira fahaman politik. Maknanya bila bicara soal perpaduan ia merentasi semua,” katanya.

Halimah berkata sebuah Majlis Penasihat Perpaduan Negara turut ditubuhkan, bagi memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat di negara ini.

Beliau berkata ia bertanggungjawab menasihati kerajaan melalui kementerian berkaitan hal ehwal perpaduan, serta membincangkan isu perpaduan, usaha penyatuan nasional dari pelbagai sudut dan mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik, bagi menangani isu dan cabaran perpaduan dalam memperkukuh agenda perpaduan nasional.

“Kita harap dengan struktur yang ada ini, akan dapat membantu kementerian saya untuk menjadikan harapan rakyat dan aspirasi negara, ke arah melahirkan agenda perpaduan nasional yang mantap.

“Saya juga berharap kita dapat mewujudkan rukun perpaduan rakyat Malaysia berteraskan kepada Rukun Negara dan saya harap ia dapat diterjemahkan dalam perancangan yang sedang kita laksanakan,” katanya.

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.

Lima prinsip terkandung dalam Rukun Negara adalah, Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; Kesopanan dan Kesusilaan.

Komen & Pendapat

Comments are closed.