Berita Hari Ini

Kementerian Tiada Rancangan Laksanakan Pendaftaran, Lesenkan Basikal

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata tiada rancangan di pihaknya untuk melaksanakan pendaftaran dan pelesenan setiap basikal di negara ini serta diletakkan nombor plat sepertimana kenderaan bermotor.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat kementerian, malah cadangan itu juga tidak pernah dibangkitkan kepada beliau.

“Banyak lagi faktor perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh MOT bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki.

Setakat ini, sebarang komen yang dibuat oleh MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) sebagaimana yang dilaporkan media hari ini tidak menjadi dasar sehinggalah melalui pelbagai proses seterusnya mendapat kelulusan menteri,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook beliau hari ini, lapor Bernama.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan setiap basikal di negara ini perlu didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran sama se­perti kenderaan bermotor, demi menjaga keselamatan penunggang basikal daripada terdedah dengan kemalangan jalan raya,

Bagaimanapun, Ketua Pengarah MIROS Dr Khairil Anwar Abu Kassim dilaporkan sebagai berkata pihaknya sedang mengkaji keperluan berkenaan yang bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya sekali gus mengambil langkah awal supaya kadar kemalangan maut dapat dikurangkan.

Wee berkata agensi-agensi di bawah MOT perlu membuat kajian menyeluruh atau cadangan untuk analisis dan pertimbangan pengurusan kanan MOT termasuk Pejabat Menteri sebelum proses dimulakan bagi melaksanakan apa-apa dasar di bawah bidang kuasa MOT, dan semua pengumuman polisi pramatang adalah dilarang tanpa persetujuan Menteri.

“Dari segi keselamatan penunggang basikal, MOT melalui JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) terus mempromosikan program advokasi keselamatan dengan penggemar sukan berbasikal dan persatuan-persatuan yang berkaitan secara berterusan, begitu juga dengan semua pengguna jalan raya lain.

“Program berkaitan keselamatan ini juga akan dibincangkan dan dikemas kini semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya yang akan diadakan pada bulan ini,” katanya.

Beliau juga menasihati semua penunggang atau penggemar sukan berbasikal supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya seperti peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");