Berita Hari Ini
Like

Kerajaan Sokong Usaha Martabat Perundangan Syariah

September 29, 2020
276 Views
0 Comments
4 minutes read
Kerajaan Sokong Usaha Martabat Perundangan Syariah

SEPANG – Kerajaan komited menyokong usaha yang boleh menyumbang ke arah meninggikan martabat institusi kehakiman dan perundangan syariah di negara ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penambahbaikan secara berterusan dapat melonjakkan imej institusi kehakiman dan perundangan syariah.

“Penambahbaikan perlu dilakukan dalam menangani kes-kes yang semakin kompleks serta mencabar sekaligus memenuhi keperluan masyarakat Islam secara keseluruhannya,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, timbalannya, Ahmad Marzuk Shaary dan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syarikat Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menurutnya, ia termasuklah penambahbaikan secara berterusan terhadap bidang kuasa mahkamah syariah, perjawatan hakim-hakim syarie dan profesionalisme pegawai mahkamah dari semasa ke semasa lapor Sinar Harian.

“Mahkamah syariah yang merupakan institusi kehakiman dan perundangan syariah yang mendokong syiar Islam akan terus dipertahankan serta diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedar bahawa tugas dan tanggungjawab hakim syarie dan pegawai syariah amat berat dalam menegakkan hukum berlandaskan syariat Islam.

“Bagaimanapun, anda semua hendaklah menyempurnakan tugas yang diamanahkan dengan penuh sabar, ikhlas dan berintegriti.

“Insya-ALLAH, setiap tugas dan amanah yang dilaksanakan dengan penuh wibawa dan berintegriti akan sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat dan diberkati oleh Allah SWT,” katanya.

Dalam ucapan itu, Muhyiddin berkata, pemimpin Malaysia yang terdahulu sehingga sekarang menggunakan prinsip Maqasid Syariah demi kemaslahatan masyarakat awam.

“Sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini, pendekatan pentadbiran yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah berlandaskan kelima-lima prinsip dalam Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan sekalipun tidak semestinya dinyatakan dalam bentuk slogan atau label,” katanya.

Menurutnya, walaupun pada zahirnya tidak nampak prinsip-prinsip maqasid ini diuar-uarkan sebagai kerangka yang menjadi panduan dalam tindakan menangani koronavirus (Covid-19), namun pada hakikatnya ia telah menjadi prinsip panduan dalam menggerakkan usaha kerajaan untuk melawan pandemik ini.

“Atas semangat Malaysia Prihatin, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP.

“Sehinggalah pada saat ini kita masih lagi berada dalam fasa PKP Pemulihan untuk memelihara keselamatan dan nyawa orang awam daripada ancaman wabak Covid-19,” katanya.

Tambahnya, dalam keadaan kebanyakan negara di dunia terpaksa melaksanakan perintah berkurung atau di Malaysia dikenali sebagai PKP, banyak urusan yang berkaitan dengan pentadbiran negara dan pengurusan ekonomi tidak dapat dilakukan dalam keadaan biasa seperti sebelum ini.

“Tindakan ini telah berjaya mengekang penularan wabak Covid-19.

“Namun pada masa yang sama, ia juga memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat dan pentadbiran negara,” katanya.

Beliau berkata, pentadbiran mahkamah syariah adalah antara yang terkesan dengan pelaksanaan PKP.

“Ini termasuk penutupan mahkamah yang memerlukan sistem kehakiman berfungsi dalam keadaan normal baharu seperti pelaksanaan urusan mahkamah menerusi sistem dalam talian,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, penggunaan teknologi baharu mestilah diberikan keutamaan oleh pentadbiran mahkamah syariah.

“Pada hemat saya, pengalaman yang kita peroleh daripada episod pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa penggunaan teknologi merupakan satu kewajipan.

“Tanpa teknologi, pentadbiran sistem kehakiman Islam boleh terencat dan seterusnya menghalang pelaksanaan keadilan yang merupakan suatu tuntutan agama,” katanya.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada norma baharu dalam pentadbiran kehakiman Islam yang mesti diberikan tumpuan.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen dan Hotel M√∂venpick bermula semalam mengangkat tema Aplikasi Maqasid Al- Syar’iyyah Ke Arah Pembudayaan Norma Baharu Dalam Sistem Kehakiman dan Perundangan Syariah.

Comments are closed.