Berita Hari Ini

Kes Bunuh Di Stesen Minyak: Tiga Lelaki Lepas, Bebas Daripada Tuduhan

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan membunuh dan bersubahat melakukan jenayah itu ke atas seorang lelaki, di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini, tiga tahun lepas.

Bernama melaporkan Pesuruhjaya Kehakiman Dr Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh, Gan Jia Ji, 22, Yip Kah Hou, 26, dan Woon Kian Hui, 25.

Shahnaz dalam penghakiman di akhir kes pendakwaan berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu tidak jelas untuk mengaitkan ketiga-tiga tertuduh dalam kes berkenaan.

“Bukti asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil juga tidak sepadan dengan darah yang ditemui di lokasi selain tiada siasatan dilakukan terhadap bukti alibi,” katanya.

Menurut Shahnaz, pihak pendakwaan juga gagal mengaitkan kereta BMW yang digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Gan selaku tertuduh pertama, didakwa dengan niat bersama lima orang yang masih bebas, membunuh Tan Aik Chai, 44, pada kira-kira 7.30 malam di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, di sini, pada 17 Dis 2017.

Yip dan Wong serta dua orang yang masih bebas pula didakwa bersubahat dengan Gan dan lima orang yang masih bebas membunuh Tan pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Gan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati manakala Yip dan Wong didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suriani Ujang manakala Gan diwakili peguam Datin S.Freda, Che Azlin Farahannis Evani, Foo Fang Leong dan Veeranesh Babu.

Yip pula diwakili peguam Chuah Shyue Chien manakala Wong diwakili peguam Ram Karpal Singh dan Harshaan Zamani.

Seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");