Panasnya Hari Ini

Kes Guan Eng Di Butterworth Dibicara Bersama Kes Di Mahkamah KL

KUALA LUMPUR: Kes rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melibatkan projek terowong dasar laut di Mahkamah Sesyen Butterworth akan dibicarakan bersama kesnya di Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 10 Ogos lalu Mahkamah Sesyen Butterworth membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Kuala Lumpur kerana ia melibatkan transaksi yang sama.

Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini menyaksikan timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon agar pertuduhan terhadap Lim, 60, dibacakan semula.

Ahli Parlimen Bagan itu, yang diwakili peguam Gobind Singh Deo, mengekalkan pengakuan tidak bersalah beliau dan mahkamah kemudian menetapkan 12 Oktober sebagai sebutan semula kes.

Memetik Bernama, Lim didakwa menggunakan kedudukan beliau semasa menjadi ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul merupakan pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat ketua menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Kuala Lumpur, beliau berdepan pertuduhan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntuk hukuman serupa, jika sabit kesalahan.-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");