Berita Hari Ini

Khalid Terharu Sultan Selangor Perkenan Beli Kasut Emas

BEKAS penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus mengakui terharu apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli trofi Kasut Emas miliknya.

Khalid berkata, Sultan Sharafuddin tetap menghargai jasanya biarpun dia tidak lama mengerah kudrat bersama Selangor yang juga juara 33 kali Piala Malaysia.

“Ampun Tuanku… walaupun perjuangan saya bersama Selangor tak begitu lama, tetapi Tuanku masih menghargai jasa saya bersama Selangor dan juga (skuad) kebangsaan… cukup terharu,” kata Khalid dalam satu hantaran di laman Facebook peribadinya semalam.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan membeli trofi Kasut Emas tersebut pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Majlis ringkas bagi penyerahan trofi Kasut Emas tersebut turut berlangsung di Istana Alam Shah, Klang memetik Sinar Harian.

Trofi Kasut Emas yang dimenangi Khalid selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Satu pada tahun 2002 itu juga akan diletakkan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di pekarangan Istana Alam Shah.

Untuk rekod, Khalid, 43, pernah beraksi bersama skuad Gergasi Merah selama dua musim mulai 2005 hingga 2006.

Sebelum ini, arena bola sepak negara gempar dengan hasrat Khalid melelong trofi tersebut selepas menghadapi masalah kewangan. Beberapa individu dilaporkan berminat untuk membeli trofi Kasut Emas itu dengan angka lelongan mencecah RM99,999.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");