Berita Hari Ini

KWSP raih pendapatan pelaburan kasar RM15.12 bilion

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraih pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM15.12 bilion pada suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2020.

Ekuiti yang menyumbang 54 peratus kepada jumlah pendapatan kasar, mencatatkan RM8.11 bilion, manakala instrumen Pendapatan Tetap menyumbang sebanyak RM6.17 bilion.

Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Alias, berkata sektor Hartanah dan Infrastruktur serta Instrumen Pasaran Wang pula masing-masing menyumbang RM0.47 bilion dan RM0.37 bilion.

“Keadaan yang mencabar dan tidak menentu bermula awal tahun ini tidak menunjukkan tanda ia akan pulih kepada sedia kala berikutan isu seperti ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China serta penurunan harga minyak yang masih berterusan tanpa jalan penyelesaian.

“Memburukkan lagi keadaan apabila COVID-19 melanda negara-negara yang kurang bersedia menghadapinya.

“Perintah berkurung yang dilaksanakan ekonomi utama dunia dan penutupan sempadan, turut menjejaskan rangkaian bekalan, seterusnya mengakibatkan kemerosotan dalam pelbagai sektor serta industri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Alizakri berkata, Alokasi Aset Strategik (SAA) yang menjadi panduan untuk menstruktur pelaburan dan portfolio, membantu KWSP dalam mengharungi tempoh separuh tahun pertama yang sangat tidak menentu.

Sebagai contoh, beliau berkata, pendedahan pelaburan dalam Instrumen Pendapatan Tetap membolehkan KWSP menahan teguh ketika tempoh kemerosotan pada permulaan suku tahun kedua.

“Ini diikuti kenaikan indeks FBM KLCI dan pemulihan pasaran global pada penghujung suku tahun kedua susulan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat.

“Pada masa hadapan, kami akan kekal berwaspada kerana kemungkinan gelombang kedua COVID-19 akan berlaku. Ini akan memburukkan lagi keadaan ekonomi yang lemah di negara-negara masih bergelut dengan impak gelombang pertama,” katanya.

Beliau berkata, SAA KWSP memperuntukkan 51 peratus kepada instrumen Pendapatan Tetap, 36 peratus kepada Ekuiti, 10 peratus kepada Hartanah dan Infrastruktur, serta tiga peratus kepada instrumen Pasaran Wang, sebagai satu rangka kerja untuk mengoptimumkan pulangan jangka panjang dalam lingkungan had risiko boleh diterima.

Katanya, strategi pelaburan ke luar negara yang berpandukan SAA membantu menambah nilai prestasi keseluruhan bagi suku terbabit.

“Pada akhir Jun lalu, aset pelaburan KWSP ialah sebanyak RM929.64 bilion dan 30 peratus daripadanya dilaburkan di luar negara. Setakat suku tahun kedua, 39 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar dicatatkan hasil sumbangan pelaburan KWSP di luar negara.

“Pendapatan dari luar negara ini didorong pemulihan dalam pasaran ekuiti global pada suku tahun kedua. Ini membolehkan KWSP kekal berdaya tahan berikutan kemelesetan pada suku tahun pertama.

“Instrumen Pendapatan Tetap turut menyumbang pendapatan lebih tinggi dalam persekitaran kadar faedah rendah yang memberikan lebih banyak peluang kepada KWSP untuk meraih keuntungan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");