Perak Hari Ini

Masih Jual Piring Hitam, Kaset Sejak 50 Tahun Di Ipoh

IPOH: Kecanggihan teknologi masa kini nyata memberi impak khususnya kepada sektor perniagaan yang menjual cakera padat mahupun kaset.

Namun, walaupun menjangkau usia 50 tahun, ‘Perniagaan Nanyang’ masih lagi menjual kaset dan piring hitam koleksi lama.

Pemilik, Cheng Ah Lek, 76 berkata perniagaannya sebelum ini beroperasi di Jalan Osborne atau kini Jalan Dato Tahwil Azhar selama 30 tahun sebelum ianya berpindah ke Pasar Besar Ipoh sekitar tahun 2000.

Katanya dia memiliki lebih 1,000 koleksi piring hitam penyanyi dalam dan luar negara antaranya Datuk M Daud Kilau, Sweet September, D’Lloyd, Ray Colignon serta Elvis Presley.

“Saya ada menjual lagu-lagu berbahasa Melayu, Cina dan Inggeris. “Dahulu saya ada banyak koleksi lagu P.Ramlee, tapi sekarang sudah habis.

“Ada pelanggan datang dari Pulau Pinang, dia borong semua koleksi lagu P.Ramlee dan Saloma,” katanya ketika ditemui PerakToday, hari ini.

Jelasnya harga sesebuah piring hitam sekitar RM15 ke RM18 selain ada yang dijual dengan harga asal.

Tambahnya walaupun tidak kerap namun premisnya tetap ada dikunjungi khususnya peminat koleksi piring hitam yang rata-ratanya dari dalam Perak serta Kuala Lumpur dan Sabah.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata disebabkan teknologi masa kini permintaan dan bekalan terhadap piring hitam dan kaset semakin berkurangan.

“Kesemua koleksi yang ada di sini adalah koleksi lama. Sebelum ini di Jalan Osborne, saya ada pihak pembekal yang membekalkan barangan tersebut.

“Namun sejak memasuki tahun 2000 ianya sudah tiada. Oleh sebab itu saya mahu menghabiskan kesemua koleksi ini untuk dijual,” katanya lagi.

Ujarnya disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi ditambah dengan perkembangan perniagaan yang tidak menentu, dia memikirkan untuk berehat pada suatu hari nanti.

Dalam pada itu, Ah Lek mengakui minatnya terhadap lagu dan muzik turut mendorongnya untuk bermain alatan muzik tradisional Cina, erhu dan seruling.

Dia mempelajari teknik menggesek erhu sejak berumur 12 tahun itu turut pernah muncul dalam salah satu babak ‘Filem Rock Oo!’ yang diarahkan, pengarah terkenal Mamat Khalid.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");