Berita Hari Ini

MTUC Gesa Kaji Semula Gaji Dan Upah Pekerja

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini melihat kenaikan gaji dan upah pekerja di negara ini masih jauh di bawah keperluan khususnya bagi menampung diri dan keluarga.

BH Online melaporkan, Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, berkata kebanyakan pekerja terutama di kawasan bandar terpaksa bertahan susulan kenaikan kos sara hidup dan peningkatan harga barang serta perkhidmatan, implikasi pandemik COVID-19.

Menurutnya, laporan oleh Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berhubung gaji dan upah pekerja di negara ini tahun lalu meningkat sebanyak 4.4 peratus mesti dilihat daripada perspektif lebih komprehensif kerana masih ramai pekerja berdepan gaji rendah.

“Kenaikan gaji dan upah sebanyak 4.4 peratus ini mungkin menerima pujian ramai, lebih-lebih lagi, Mohd Uzir dalam kenyataannya berkata, kenaikan itu turut menunjukkan pertumbuhan ekonomi dicatatkan Malaysia, tahun lalu.

“Bagaimanapun, ia perlu dinilai dengan data lain yang relevan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan badan lain boleh dipercayai.

Solomon berkata, angka 4.4 peratus itu bersamaan dengan peningkatan cuma RM137 bagi gaji dan upah bulanan bagi 2019, berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, laporan BNM menyatakan dengan jelas gaji pekerja pasangan dengan dua anak di bandar seperti Kuala Lumpur adalah RM6,500 sebulan dan RM2,700 untuk individu.

“Ini dinyatakan dalam Laporan Tahunan BNM 2017, oleh itu penelitian semula berhubung gaji pekerja perlu dibuat mengikut keadaan kos hidup semasa.

“Selain itu, puluhan ribu pekerja hanya meraih pendapatan sekitar RM2,500 dan terpaksa bekerja lebih masa untuk mendapat gaji sekitar RM3,000.

“Kebanyakannya hidup dalam kemiskinan dan dengan berbekalkan sedikit simpanan, mereka terpaksa menanggung hutang tinggi untuk menampung keluarga,” katanya.

MTUC turut menyarankan pelbagai usaha untuk membantu pekerja khususnya dalam kalangan B40.

“Pada Jun tahun lalu, kerajaan berjanji untuk memperkenalkan Indeks KOS SARA Hidup (CLI) untuk melengkapkan Indeks Harga Pengguna (CPI).

“Langkah itu membolehkan kerajaan menyusun dasar lebih realistik berdasarkan keadaan sebenar berlaku dalam kalangan masyarakat.

“CLI akan menguntungkan golongan berpendapatan rendah melalui program secara bersasar, bagaimanapun cadangan mengenai perkara ini agak sepi ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Solomon turut mengulangi gesaan supaya kerajaan memperkenalkan Peraturan Penggajian Kecemasan yang melarang majikan memberhentikan pekerja sehingga ekonomi negara pulih daripada pandemik COVID-19.

“Ini memastikan jaminan pekerjaan, memandangkan keadaan hidup yang mendesak.

“Kementerian Sumber Manusia juga perlu mengadakan mesyuarat segera bersama Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bagi membincangkan isu serius berkaitan kebajikan dan gaji pekerja,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");