Panasnya Hari Ini

Najib Luluskan Pinjaman Tambahan US$975 Juta Untuk Tebus ‘Aabar Option’ – Saksi

KUALA LUMPUR – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini yang beliau agak terkejut, selepas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, meluluskan pinjaman berjumlah US$975 juta bagi membeli semula saham 1MDB di dalam Aabar Investment PJS pada 2014.

Bernama melaporkan Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman, 48, berkata, beliau selaku CEO syarikat tidak mendapat sebarang maklumat mengenai pinjaman tambahan dari Deutsche Bank AG itu, dan hanya mengetahuinya apabila menerima e-mel dari ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

“Turut dilampirkan dalam e-mel dari Jho Low itu adalah, sebuah dokumen menyatakan kelulusan yang diberikan oleh Najib selaku Menteri Kewangan Diperbadankan.

“Kelulusan itu diperolehi dengan Najib menandatangani dokumen bertajuk ‘Minutes by Representative of Holding Company Relating to Proceedings of Subsidiary Company Pursuant To Section 147(6) Of the Companies Act 1965, serta Special Rights Redeemable Preference Shareholder’s Resolution In Writing’ tersebut,” katanya.

Menurut saksi pendakwaan ke-10 itu, Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir, juga tidak mengetahui tentang cadangan pinjaman yang dibuat Jho Low itu.

“Saya menerima e-mel daripada Jho Low, tentang perancangan beliau untuk membuat lagi pinjaman tambahan berjumlah US$975 juta dengan Deutsche Bank AG, bagi membayar hutang US$250 juta yang dipinjam dahulu.

“Selebihnya pula akan digunakan untuk membayar baki bayaran penamatan Aabar Option. Jho Low juga telah e-mel kepada saya pelan tindakannya yang bertajuk ‘Final Decisions on 1MDB Energy Group IPO’,” katanya.

Mohd Hazem, yang memegang jawatan CEO dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dari Mac 2013 hingga Januari 2015, berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya, pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu penamatan Aabar Option atau ‘Option Buy Back’ bertujuan menebus semula pegangan Aabar sebanyak 49 peratus di dalam anak syarikat 1MDB, 1MDB Energy Sdn Bhd.

Mohd Hazem berkata, ketika perjanjian Aabar Option antara 1MDB dan Aabar itu dibuat, beliau belum lagi memegang jawatan sebagai CEO 1MDB, tetapi telah ditaklimatkan secara ringkas oleh Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir, ketika mula-mula menyandang jawatan tersebut.

“Untuk menebus semula pegangan (option) oleh Aabar tersebut, 1MDB terpaksa mencari sumber kewangan bagi membiayai pembayaran penamatan pegangan kepada Aabar.

“Oleh itu, pada 22 Mei 2014, ahli lembaga pengarah 1MDB telah membuat keputusan untuk membuat pinjaman daripada Deutsche Bank AG, untuk menebus semula pegangan itu.

“Pinjaman ini perlu dibuat kerana 1MDB tidak mempunyai sumber kewangan lain, lebih-lebih lagi kerana ketika itu dana pelaburan 1MDB di satu lagi syarikat iaitu Brazen Sky di Bridge Global Absolute Return Fund SPC, masih tidak dapat ditebus kembali,” katanya.

Saksi itu berkata beliau ada menyuarakan kebimbangannya kepada Ketua Setiausaha Sulit Najib Datuk Azlin Alias, untuk disampaikan kepada Najib berkenaan hutang 1MDB yang semakin bertambah.

“Azmi (Azmi Tahir) juga beritahu saya cadangan pinjaman ini datangnya daripada Jho Low, dengan dibantu peguam 1MDB Jasmine Loo, dan Pengarah Eksekutif 1MDB Terence Geh.

“Apabila saya tahu Jho Low sendiri sedang berusaha untuk mendapatkan pinjaman daripada Deutsche Bank AG, saya menyerahkan kepakaran diplomasinya untuk berurusan dengan bank tersebut,” katanya sambil menambah urusan 1MDB sebelum ini juga dilakukan Jho Low dengan adanya restu dari Najib sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya, untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");