Panasnya Hari Ini
Like

‘P’ Dan ‘N’ Adalah Penyelamat Negara, Kata Hamzah

September 10, 2020
174 Views
0 Comments
3 minutes read
‘P’ Dan ‘N’ Adalah Penyelamat Negara, Kata Hamzah

KOTA KINABALU: Kerajaan PN yang ditubuhkan pada Mac lalu bukan sekadar gabungan atas nama Perikatan Nasional, malah Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin melihatnya sebagai “penyelamat negara.”

Berucap pada majlis himpunan Perikatan Nasional Sabah malam tadi, Hamzah yang mewakili Bersatu berkata, maksud penyelamat negara itu dapat diterjemah apabila Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ‘menyelamatkan negara’ ketika Malaysia dilanda wabak Covid-19 lapor MKini.

“P’ itu penyelamat, ’N’ itu adalah negara. Penyelamat negara adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sekarang ini memimpin kita sebagai perdana menteri.

“Kalau ada penyelamat, Insya-Allah dengan keikhlasannya, dengan kejujurannya kita dapat menangani pandemik Covid-19.

“Dengan adanya sokongan daripada menteri-menteri, tak kira daripada Semenanjung, Sabah ataupun Sarawak, kita berjaya,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah semalam.

Turut hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (Sapp) Yong Teck Lee, Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Pada masa sama, selain berikrar kerajaan baru akan mengambil alih semula Sabah pada 26 September ini, Hamzah turut berjanji PN akan mempertahankan negeri di bawah bayu itu daripada dituntut oleh mana-mana negara luar.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tuntutan Filipina terhadap Sabah.

“Kita akan mempertahankan negeri ini daripada dituntut oleh sesiapa saja daripada luar negara. Ini negara yang bermaruah.

“Ini negara yang telahpun berjaya, bukan hanya mempertahankan negaranya selama ini tetapi juga telah menunjukkan, membuktikan kepada dunia, apa sekali ada pun, apa sekali rintangan yang ada, membujur lalu melintang patah.

“Percayalah bahawa Perikatan Nasional-lah yang akan mempertahankan rakyat yang ada dalam negara dan negeri ini,” kata Hamzah.

Sementara itu, Jeffrey dalam ucapannya menuntut supaya rakyat Sabah diberikan ‘keadilan’.

Katanya, partinya inginkan satu kerjasama yang sama rata dan dihormati dalam PN.

“Saya mahu luahkan apa yang saya dengar daripada rakyat dan rakyat ini inginkan keadilan, inginkan kesaksamaan dan inginkan penghormatan untuk wakil-wakil rakyat-rakyat di negeri Sabah ini.

“Saya percaya. Pertama kalinya saya percaya bahawa kepimpinan yang ada pada hari ini di Kuala Lumpur di peringkat nasional adalah kepimpinan yang adil dan menghormati hak-hak negeri Sabah.

“Sebab itu saya sokong PN dan kita sama-sama sokong PN,” katanya.

Jeffrey berkata dia percaya bahawa kerajaan PN telah membantu rakyat sepertimana yang dapat dilihat bagaimana negara menangani wabak Covid-19.

“Maka itu saya percaya, kerajaan yang ada di bawah ini akan disokong oleh rakyat dan akan menang pilihan raya (negeri Sabah) akan datang ini.

“Tapi dalam masa yang sama kita kena lihat. Kita mahu kerjasama sebagai rakan kongsi sama rata, hormat menghormati. Kita tak mahu dikuasai, dijajah.

“Kita percaya kerajaan yang sekarang ni bukan macam kerajaan yang sudah-sudah. Lupakanlah yang sudah-sudah. Sekarang kita dalam era baru, era Perikatan Nasional,” katanya.

Untuk rekod, PRN Sabah akan diadakan pada 26 September. Manakala penamaan calon 12 September.

Komen & Pendapat

Comments are closed.