Perak Hari Ini

Padah Warga Bangladesh Beri Suapan RM50

IPOH: Seorang warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memberi suapan sebanyak RM50 kepada seorang anggota polis di Slim River awal bulan ini.

Tertuduh, Ariful, 41 yang bekerja di sebuah ladang di Slim River membuat pengakuan bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah memberikan suapan tersebut kepada Korperal Mohammad Azuan Ali, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan memiliki 13 karton rokok seludup.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 9.45 malam di hadapan sebuah bank di Jalan Stesen, Kampung Manggis dalam daerah Mualim pada 6 September lalu.

Tertuduh ditangkap atas kesalahan memilik rokok seludup yang melanggar Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Bagi kesalahan memberi suapan, dia didakwa bawah seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama.

Dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan.

Ariful yang tidak mewakili peguam memohon agar mahkamah dapat mengurangkan denda dan penjara ke atasnya kerana dia masih menyara enam adik-beradiknya yang berada di Bangladesh.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin walau bagaimanapun berkata satu hukuman berat seharusnya dikenakan ke atas tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukkannya adalah serius selain wajar dijadikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Hakim S Indra kemudiannya memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh selama tiga bulan bermula hari ini serta didenda RM10,000.

Mahkamah juga memutuskan sekiranya gagal membayar denda dia boleh dilanjutkan hukuman penjara tiga bulan lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");