Panasnya Hari Ini
Like

PAS Minta Penjelasan: “Fokus PRN Sabah Dahulu” – Pemuda UMNO

September 25, 2020
241 Views
0 Comments
2 minutes read
PAS Minta Penjelasan: “Fokus PRN Sabah Dahulu” – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO akan memberi penjelasan kepada PAS minggu depan, berhubung kenyataan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa ada dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BH Online melaporkan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ketika ini, tumpuan hanya diberikan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung esok.

“Fokus PRN Sabah dahulu. Minggu hadapan dalam Mesyuarat Induk Muafakat Nasional secara tertutup, pimpinan (PAS) boleh dapatkan penjelasan atas semangat musyawarah dan ukhuwwah.

“Sama-sama perlukan penjelasan termasuk penyertaan PAS sebagai salah satu komponen parti dalam Parti Perikatan Nasional (PN).

“UMNO tidak pernah membelakangi PAS jauh sekali untuk mengkhianati prinsip bersama sebagaimana yang digariskan dalam Piagam Muafakat Nasional,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Susulan kenyataan Ahmad Zahid kelmarin, ramai dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO dan BN menafikan bahawa mereka menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan baru.

Mengulas lanjut, Asyraf juga berkata, kerjasama antara UMNO dan PAS di bawah Muafakat Nasional amat kukuh.

“Kerjasama UMNO, PAS dalam Muafakat Nasional sebenarnya amat kukuh. Walaupun ada usaha menggugatnya, namun selagi matlamat permuafakatan atas semangat penyatuan ummah sebagaimana digariskan bersama, insya Allah tiada apa yang boleh menggangu-gugatnya,” katanya.

PAS hari ini meminta penjelasan daripada UMNO berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan Ahli Parlimen UMNO terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sekiranya keadaan itu benar, bermakna UMNO tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019.

Komen & Pendapat

Comments are closed.