Panasnya Hari Ini

Pejuang Tak Sokong Anwar

Yan: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyatakan pendirian tidak akan memberi sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baharu.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sehingga kini pihaknya tidak diajak untuk berbincang mengenai perkara itu bersama PKR mahupun Anwar sendiri.

“Jadi takkan kita nak terhegeh-hegeh untuk menawarkan kerjasama dengan beliau, saya sendiri pun rasa hairan dengan tindakan Anwar yang menyatakan bilangan Ahli Parlimen yang menyokongnya sudah mencukupi untuk tujuan itu.

“Di pihak kami yang terdiri daripada Pejuang, Warisan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setidak-tidaknya ada 18 orang.

“Mungkin jumlah 18 itu dianggap kecil dan Anwar sendiri menyebut bahawa kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak termasuk dalam jumlah sokongan yang beliau ada,” katanya yang menjadi antara pengasas Pejuang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi ahli panel bagi program memperingati bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak bersama anak Allahyarham, Ahmad Faiq Azizan di sini, malam tadi.

Sementara itu Mukhriz berkata, Anwar diminta mengemukakan bukti jumlah sokongan Ahli Parlimen yang dimilikinya bagi membentuk sebuah kerajaan baharu seperti dakwaannya memetik HMetro.

Katanya, bukti itu mestilah disertakan dengan akuan sokongan oleh semua Ahli Parlimen yang didakwa bersamanya bagi tujuan itu.

“Ketika ini tersebar nama Ahli Parlimen Umno yang dikatakan akan bersama Anwar tetapi seorang demi seorang sudah menafikannya. Ia menimbulkan banyak persoalan.

“Ketika ini kita berdepan ancaman Covid-19, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan kini timbul pula desas-desus PRU. Saya rasa semua ini sembang kurang sihat dan apa yang paling penting kini adalah memastikan tidak berlaku huru-hara dalam negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");