Berita Hari Ini

Pekebun bunga Cameron Highlands terus rugi besar

GABUNGAN masalah kekurangan pekerja asing, kos pengangkutan tinggi dan cuaca buruk menyebabkan pekebun bungan Cameron Highlands rugi berjuta-juta ringgit.

Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), pekebun bunga ini berubah menjadi penanam sayur tetapi kembali menanam bunga apabila PKP pemulihan mula dikuatkuasa dan sekarang ditimpa masalah.

Bunga mereka selalunya dieksport ke Thailand, Jepun, Hong Kong dan Singapura. Tetapi, kebanyakan eksport terpaksa dihentikan kerana caj pengangkutan semasa naik sehingga 100%.

Presiden Persatuan Pekebun Bunga Cameron Highlands Lee Peng Fo memberitahu The Malaysian Insight yang walaupun mereka kembali menanam bunga, hasil keluaran tahun ini akan berkurangan sebanyak 40% hingga 50% berbanding tahun lepas.

Ketika wabak Covid-19 mula meledak, situasi di Jepun memberi kesan buruk kepada pekebun bunga Cameron Highlands menyebabkan penurunan mendadak permintaan. Selain Jepun, eksport ke Thailand turut terjejas.

Tetapi, sekarang permintaan eksport ke Thailand kembali stabil.

“Selepas eksport bunga segar kembali berjalan, pekebun bunga berdepan satu lagi ujian. Kos penerbangan eksport bunga ke Jepun naik 100% kerana penerbangan yang kurang.

“25% bunga Cameron Highlands dieksport ke Thailand, destinasi lain termasuklah Singapura dan Hong Kong.

“Permintaan dari Singapura sudah kembali kepada 80% berbanding sebelum ini tetapi pasaran Hong Kong pula menurun kerana wabak teruk,” katanya.

Sebelum wabak Covid-19, eksport tahunan bunga Cameron Highlands antara RM400 juta hingga RM500 juta untuk pasaran Jepun, Thailand, Singapura, China, Australia, Hong Kong, Taiwan dan beberapa negara lain lagi.

Cameron Highlands menghasilkan bunga berkualiti tinggi kerana kawasan itu mendapat sinaran matahari sepanjang tahun dengan suhu antara 14°C hingga 22°C. Ia juga terletak di garisan Khatulistiwa dan tidak terkesan dengan perubahan musim.

Sejak bertahun lamanya, penanaman sayur dan bunga Cameron Highlands berjalan dengan lancar dan mendatangkan hasil lumayan.

Malangnya, pandemik global memaksa pekebun bunga mengurangkan tanaman mereka dan mula menanam sayur untuk menampung kehidupan.

Tiada lebihan sayur kerana hujan

Di kawasan tanah tinggi negara itu, bukan hanya pekebun bunga yang rugi besar, situasi sama turut dialami pekebun sayur.

Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands Chay Ee Mong memberitahu The Malaysian Insight yang ramai pekebun bunga mula kembali menanam bunga tetapi masih ada tanah yang menunggu masa untuk sayur dituai.

Katanya, perubahan tanaman ini tidak menyebabkan sayur Cameron Highlands terlebih pengeluaran disebabkan perubahan iklim yang tidak terduga.

“Mulanya kami ingat akan ada lebihan hasil sayur pada Ogos dan September, tetapi musim hujan datang awam tahun ini.

“Cuaca pada April baik dan pengeluaran dari Jun hingga Julai agak baik, tetapi pada Ogos dan September hujan turun setiap hari.

“Harga sayur naik antara 40% hingga 50%. Misalnya, harga cili naik sebanyak 15%.”

Tambahnya, wujud juga masalah kekurangan pekerja sehingga menyebabkan kerja tuaian perlahan.

“Kami terpaksa kurangkan tanaman kerana tidak cukup orang untuk menuai bila sampai masanya.”

Kekurangan pekerja

Pekebun bunga juga berdepan masalah kekurangan pekerja.

Lee, daripada persatuan pekebun bunga, berkata masalah jangkitan serangga perosak menyebabkan tuaian bunga terjejas.

Selain itu, wujud juga masalah kekurangan pekerja. Setiap seorang pekerja terpaksa membuat jumlah kerja dua orang pekerja. Masa bekerja juga dilanjutkan.

“Kami betul-betul kurang pekerja lebih kurang 40%. Tidak ada cara hendak tambah pekerja baharu. Seorang perlu buat kerja dua orang. Waktu bekerja perlu dilanjutkan dan kami perlu bayar elaun kerja lebih masa untuk pekerja kami.”

Seorang lagi pekebun bunga yang enggan dinamakan berkata, kos penanaman bunga tinggi kerana melibatkan perbelanjaan pembajaan, pekerja dan racun perosak.

Tanah yang digunakan untuk penanaman sayur juga kini perlu dibersihkan dan digembur kembali, proses yang memakan masa dua minggu.

Katanya, bunga yang baharu ditanam mengambil masa empat bulan sebelum boleh dituai. Beliau berharap jumlah eksport bunga tahun depan akan dapat dipulihkan kepada tahap sebelum wabak Covid-19 melanda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");