Perak Hari Ini

Pembantu Penguatkuasa Didakwa Terlibat Rasuah Untuk Tutup Kes

IPOH: Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba memperoleh dan menerima wang suapan berjumlah RM8,000, pada tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shaikhul Athar Abdullah, 37 mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan di bacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut kertas pertuduhan, Shaikhul yang ketika itu berkhidmat sebagai Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) Perak didakwa telah bersetuju untuk menerima wang RM8,000 daripada Fan Kar Weng pada 2017.

Wang suapan itu diminta sebagai upah untuk menutup kes Kar Weng yang disiasat KPDNKK pada 2014 atas kesalahan menjual arak tiruan di dua buah kelab malam di sini.

Kesalahan yang dilakukan di Greentown dekat sini pada jam 8.53 malam, 23 Mei 2017, itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi kesalahan menerima suapan, tertuduh didakwa menerima suapan RM8,000 daripada individu sama dan bagi tujuan sama pada jam 10.30 malam, 30 Mei 2017 di dalam kereta Mercedes Benz di ruang parkir Restoran Thumb’s Café, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini.

Tertuduh didakwa melakukan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan berasingan, jika disabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta didenda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang tinggi.

Peguam yang mewakili Shaikhul, Datuk Amirul Ridzuan Hanif merayu agar mahkamah dapat mengurangkan jumlah jaminan dan memberi hukuman ringan terhadap tertuduh.

Amirul berkata anak guamnya yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya itu baru sahaja kehilangan ayahnya semalam selain bertanggungjawab menjaga ibunya yang sedang uzur di Jerantut, Pahang.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran sepanjang prosiding.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");