Berita Hari Ini

Pembentukan Kerajaan Harus Melalui Perlembagaan, Budi Bicara Agong – Muhyiddin

KOTA KINABALU – Pembentukan kerajaan baharu harus dilaksanakan berpandukan Perlembagaan Persekutuan dengan turut mengambil kira budi bicara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang disokong oleh sistem perlembagaan.

Beliau berkata perlembagaan juga digunakan sebagai asas untuk memutuskan apa-apa keputusan yang bakal dilaksanakan.

“Apa-apa kenyataan (dakwaan) yang dikeluarkan oleh sesiapa pun akan hanya dilaksanakan berpandukan peruntukan perlembagaan.

“Saya tidak mahu sentuh perkara itu kerana ini juga dalam budi bicara Yang di-Pertuan Agong, namun saya masih berdiri di sini dan masih lagi menjadi perdana menteri,” katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama Perdana Menteri di Luyang, di sini hari ini, lapor Bernama.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media hari ini mendakwa mendapat sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin.

Muhyiddin berkata beliau masih lagi memegang jawatan Perdana Menteri dan beliau mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia.

“Walaupun kehadiran saya (selaku perdana menteri) berlaku apabila wujud krisis politik apabila Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan. Namun ia bersandarkan oleh perlembagaan dan saya dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong untuk ambil alih.

“Saya tidak mahu sebut nama tapi ada orang kata saya ini (kerajaan) pintu depan dan ada juga sebut pintu belakang tetapi saya (nak maklumkan yang) saya datang dari pintu Istana,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");