Panasnya Hari Ini

Pemimpin Sarawak Nafi Sokong Anwar Tubuh Kerajaan Baru

KUCHING: Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan mereka menyokong ketua pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baru.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan negeri akan terus memfokuskan kestabilan politik dan pembangunan di Sarawak.

Katanya, kerajaan GPS bekerjasama baik dengan kerajaan persekutuan semasa di bawah formula Perikatan Nasional (PN).

“Setahu saya, tiada pemimpin GPS yang berpaling tadah. Selain itu, kami mengadakan mesyuarat (mingguan) Kabinet dengan perdana menteri pagi ini dan membincangkan isu mengenai rakyat dan pembangunan di Sarawak,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, rakannya daripada GPS, termasuk Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi turut menghadiri mesyuarat itu dan semuanya baik-baik saja.

“Jika ada pemimpin GPS yang mahu menyokong Anwar, Ketua Menteri kami, Abang Johari Openg akan hubungi kami terus.”

Wan Junaidi yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi, meminta orang Sarawak tidak mendengar sebarang khabar angin yang boleh menyebabkan ketidakstabilan negara.

“Jangan dengar (cakap) orang yang obses hendak menjadi perdana menteri seterusnya, mengabaikan ekonomi, keselamatan dan kebajikan rakyat,” kata ahli Parlimen Santubong itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar daripada PBB, Rohani Karim memberi jaminan GPS tetap kuat dan bergerak dalam arah sama.

“Saya tidak rasa beliau mendapat sebarang sokongan daripada ahli Parlimen GPS dan saya tidak tahu pun beliau membuat pengumuman itu atau sidang media mempunyai ‘majoriti mencukupi’ untuk menubuhkan kerajaan baru,” katanya sambil menambah mereka akan terus menyokong Muhyiddin.

Dalam pada itu, Linggi mengingatkan presiden PKR itu supaya menghentikan permainan politik tidak matang demi mencapai kepentingan dan cita-cita peribadinya.

Beliau yang setiausaha agung GPS dan PBB berkata, sebagai ahli politik veteran dan berpengalaman, Anwar perlu menghentikan cubaan menimbulkan ketidakstabilan yang hanya akan memberi kesan buruk kepada rakyat serta ekonomi.

Katanya, GPS yang dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) berpegang teguh kepada prinsip perlunya kerajaan persekutuan yang stabil demi kebaikan rakyat serta ekonomi negara.

“Tambahan pula ketika negara sedang berperang dengan penularan Covid-19 dan fokus sepenuhnya ditumpukan dalam memulihkan ekonomi rakyat dan negara.

“GPS sekali lagi menegaskan parti ini menolak sekerasnya PKR yang bersekutu dengan pihak tidak bertanggungjawab dan angkuh melemparkan tuduhan Sarawak akan bankrap di bawah kepimpinan GPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");