Berita Hari Ini

Pengeluaran Durian Negara Cecah 443,000 Tan Metrik Menjelang 2030

RAUB – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjangkakan pengeluaran durian negara meningkat kepada 443,000 tan menjelang 2030 berbanding 384,170 tan pada 2019.

Setiausaha Bahagian Pemasaran dan Eksport MAFI Khalid Ibrahim berkata unjuran itu berdasarkan saiz kawasan tanaman durian negara seluas 72,536 hektar pada 2019.

Katanya Pahang, Johor dan Sarawak merupakan tiga negeri penyumbang utama kepada pengeluaran durian negara dengan Pahang mengeluarkan sebanyak 89,916 tan, Johor (87,838 tan) dan Sarawak (34,650 tan).

“Raub, Pahang adalah pusat pengeluaran utama durian bagi varieti Musang King. Daerah ini mempunyai kawasan penanaman durian berkeluasan 11,201.2 hektar dan pengeluaran sebanyak 70,650 tan metrik bernilai RM1.3 bilion.

“Musang King, D24, Duri IOI dan durian kampung merupakan varieti popular yang ditanam di sini,” katanya pada Program Durio Tour @Raub 2020 yang berlangsung di sini baru-baru ini, lapor Bernama.

Mengenai eksport durian, beliau berkata lima destinasi eksport utama negara ialah Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, China serta Vietnam, dan pada 2018, Malaysia mengeksport sejumlah 23,381 tan raja buah itu dengan nilai RM118.2 juta.

Mengenai program pelancongan durian atau Durio Tourism, Khalid optimis negara mampu merancakkan usaha itu selepas pandemik COVID-19 berakhir.

Menurutnya kaedah baharu digunakan bagi mempromosi Durio Tourism termasuk menggunakan pempengaruh media sosial yang mempunyai ratusan ribu pengikut.

“Pada Program Durio Tour @Raub 2020, MAFI berkesempatan membawa enam pelajar antarabangsa dari China dan lima pempengaruh serta dua wakil Kedutaan China untuk merasai pengalaman mengenali durian dan kawasan penanaman durian,” katanya yang yakin usaha itu akan dapat mempromosikan Durio Tourism negara kepada pelawat China.

Sementara itu, Pengarah Kanan Galakan Pasaran, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Rosilawati Abu Hassan yang turut hadir berkata program tersebut dapat memberikan kesan positif terhadap permintaan durian sejuk beku di China, sekali gus meningkatkan nilai eksport durian negara.

Menurutnya bagi memastikan kesegaran buah sepanjang perjalanan ke China, durian Musang King yang berkualiti tinggi dibawa terus dari dusun ke kilang dan diproses pada hari sama.

Selepas menjalani proses, buah akan dibungkus dengan kaedah pek vakum sebelum diletakkan di bilik sejuk beku yang bersuhu -18 darjah Celsius.

“Di bilik sejuk beku ini, durian boleh bertahan hingga enam bulan,” katanya.

Rosilawati berkata sehingga 25 Feb lepas, terdapat 14 kilang pemprosesan durian sejuk beku bagi whole fruit di seluruh negara yang mendapat kelulusan Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC).

Program Durio Tour @Raub 2020 kali ini menjelajah sekitar Dataran Durian, Zamri Othman Agro Farm, Lembah Temir Resort dan PHG. Ever Fresh Food (M) Sdn Bhd.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");